Kawasan pentadbiran ibupejabat polis daerah dikecilkan
Kawasan pentadbiran sesebuah ibupejabat polis daerah akan dibahagikan kepada keluasan yang lebih kecil untuk memudahkan polis membanteras jenayah serta menjaga keselamatan masyarakat setempat.
Kawasan pentadbiran sesebuah ibupejabat polis daerah akan dibahagikan kepada keluasan yang lebih kecil untuk memudahkan polis membanteras jenayah serta menjaga keselamatan masyarakat setempat.
"Kita akan kaji dulu mengikut kesesuaian. Namun jika ada keperluan untuk menyegerakan usaha itu, kita akan berikan keutamaan," kata
Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Mohd Najib Abdul Aziz.
Beliau memberitahu pemberita demikian selepas menghadiri majlis perasmian Program Kepolisan Masyarakat Daerah Klang yang dirasmikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo di Klang semalam, demikian menurut laporan Bernama.
Mohd Najib berkata, usaha tersebut juga adalah untuk memberikan lebih tumpuan kepada pencegahan jenayah di sesuatu tempat.
"Kita juga dalam perancangan untuk menempatkan pegawai penyiasat di balai polis bukan hanya di ibu pejabat polis daerah...nak cepatkan sesuatu
penyiasatan dan respon terhadap masyarakat," katanya.
Rapatkan hubungan
Beliau berkata, perkara itu akan dilaksanakan secara berperingkat kerana PDRM dalam proses untuk menambah anggotanya dan latihan memerlukan masa.
Sementara itu, Dr Mohamad Khir berkata, program tersebut merupakan satu pendekatan baru yang lebih tertumpu kepada usaha pencegahan jenayah dan penyertaan masyarakat.
"Masyarakat hari ini tidak lagi boleh bergantung kepada pihak polis mereka kena membantu polis untuk memastikan mereka hidup dalam keadaan selamat," katanya.
Beliau berharap program itu juga dapat merapatkan hubungan masyarakat dengan polis dan pihak berkuasa tempatan serta pertubuhan seperti Rukun Tetangga dan sekaligus memastikan kawasan mereka selamat dari ancaman jenayah.

