Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MBPJ kini lakukan penilaian ke atas pokok berisiko tumbang - MP
Diterbitkan:  May 26, 2024 1:46 PM
Dikemaskini: 5:46 AM

Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung memaklumkan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) sedang menjalankan penilaian terhadap pokok berusia dan berisiko tumbang.

Lee berkata, ini selepas dia mencadangkan MBPJ melantik ‘doktor pokok’ ataupun arboris untuk memeriksa keadaan pokok berusia di beberapa kawasan di Petaling Jaya.

“Saya dimaklumkan kini majlis tengah menjalankan penilaian pokok berisiko di sepanjang jalan protokol di dalam Pusat Bandar 52 dan Jalan Selangor.

"Pemeriksaan secara awal adalah kritikal supaya nyawa dan harta rakyat terjaga sebelum terlewat,” kata Lee dalam catatan di Facebook.

Dalam pada itu Lee berkata pagi ini dia meninjau keadaan di Flat Taman Perangsang bersama Penyelaras Dun, Halimey Abu Bakar dan Ahli Majlis Nora Mansor.

Ini selepas ribut kuat yang melanda Petaling Jaya semalam menerbangkan bumbung flat berkenaan.

Semalam, beberapa pokok tumbang akibat hujan lebat dan angin kencang turut menyebabkan kerosakan jalan raya dan kenderaan di beberapa kawasan di Kuala Lumpur dan Selangor.

Pada 13 Mei lalu, Lee menggesa MBPJ melantik arboris bertauliah untuk memeriksa secara menyeluruh pokok-pokok tua dan berisiko tinggi untuk tumbang.

Dia berkata arboris yang dilantik perlu melakukan pemeriksaan khususnya di kawasan-kawasan berpenduduk padat dan di sepanjang jalan utama dalam kadar segera.

Ini susulan kejadian pada 7 Mei lalu, yang menyaksikan seorang lelaki maut manakala seorang lagi cedera selepas cuaca buruk menyebabkan sebatang pokok tumbang di atas kenderaan mereka di hadapan Hotel Shangri-La di Jalan Sultan Ismail.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS