Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PKR rombak pimpinan negeri di tengah spekulasi konflik dalaman
Diterbitkan:  May 26, 2024 8:43 PM
Dikemaskini: May 27, 2024 1:29 AM

NOTA EDITOR: Laporan ini dikemas kini untuk membetulkan fakta bahawa pengerusi PKR Sarawak, Roland Engan Baram tidak diganti dan kekal memegang jawatan itu.

PKR merombak kepimpinan negerinya di tengah spekulasi yang mengatakan presidennya Anwar Ibrahim menerima tekanan untuk menggugurkan pengerusi PKR di beberapa negeri tertentu berikutan rasa tidak puas hati ketua-ketua bahagian.

Ketua penerangan PKR, Fahmi Fadzil dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan penukaran pengerusi dan timbalan pengerusi PKR Sabah, Pahang, Johor, Terengganu, Kelantan dan Wilayah Persekutuan.

“Majlis pimpinan pusat PKR mengadakan mesyuarat hari ini, di mana telah dibincangkan isu kemanusiaan dan peperangan di Gaza, serta ketegasan pendirian perdana menteri dan parti untuk usaha perdamaian, yang kini diberi perhatian penuh oleh masyarakat antarabangsa.

"Presiden turut memberi penerangan mengenai isu-isu semasa termasuk berhubung Perutusan Negara serta dasar-dasar kerajaan, selain menyeru agar anggota serta penyokong PKR menggembleng tenaga dan idea untuk terus memacu agenda Kerajaan Madani,” kata Fahmi.

Pada 24 Mei, sumber tanpa nama dipetik Free Malaysia Today bahawa pemimpin bahagian negeri menimbulkan rasa tidak puas hati terhadap ketua negeri berkenaan, antara lain kerana diakatakan berulang kali campur tangan dalam pelaksanaan tugas pemimpin bahagian.

Pemimpin PKR itu mendakwa Anwar baru-baru ini bertemu dengan pemimpin bahagian setiap negeri, termasuk mereka dari negeri tertentu yang menimbulkan kebimbangan mengenai pengerusi mereka.

Ada yang mungkin tidak lantang dengan kebimbangan mereka dalam pertemuan itu, tetapi kemudian menyuarakan rasa sangat tidak puas hati dalam kumpulan WhatsApp kepimpinan negeri..

Presiden parti sudah beritahu beliau sedang meneliti penstrukturan semula kepimpinan beberapa negeri selepas mendapat maklum balas semua pemimpin bahagian,” katanya seperti dilapor.

Sementara itu, kenyataan Fahmi menyenaraikan nama pengerusi baru.

PKR Sabah akan dipengerusikan oleh Mustapha @ Mohd Yunus Bin Sakmud (Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Ahli Parlimen Sepanggar dan Ketua Cabang Kota Belud) bersama timbalan Peto Galim (Adun Inanam).

Bekas pengerusi PKR Sabah Sangkar Rasam dilantik menganggotai majlis pimpinan pusat.

Pengerusi PKR Pahang yang baru ialah Fuziah Salleh (Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup dan anggota Cabang Kuantan) dan timbalannya ialah Rizal Jamin (ketua Cabang Lipis). Fuziah mengambil alih jawatan itu daripada naib presiden parti Amirudin Shari. Amirudin bagaimanapun akan kekal menerajui PKR Selangor.

Di Johor, PKR akan diketuai Syed Ibrahim Syed Noh (ketua Cabang dan Ahli Parlimen Ledang) dan timbalannya Md Ysahrudin Kusni (ketua Cabang Bakri). PKR Johor sebelum ini diketuai oleh timbalan presiden PKR, Rafizi Ramli.

Pengerusi PKR Kelantan yang baru ialah Mohamad Suparadi Md Noor (ketua Cabang Tanah Merah) dan timbalannya Dr Shamsudin Ghani (ketua Cabang Pasir Puteh).

Di Terengganu, PKR akan diketuai Ahmad Nazri Bin Mohd Yusof (Ketua Cabang Kemaman) dan timbalannya, Mohasdjone @ Mohd Johari Bin Mohd (Anggota Cabang Besut). Naib presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad melepaskan jawatannya sebagao pengerusi PKR Kelantan dan Terengganu.

Sementara pengerusi PKR wilayah persekutuan ialah Azman Abidin (ketua Cabang Bandar Tun Razak dan setiausaha akhbar Anwar) manakala Jayakumar R Muniandy (ketua Cabang Kepong) dilantik sebagai timbalannya.

Seperti di Johor, PKR Wilayah Persekutuan sebelum ini diketuai oleh Rafizi.

PKR Sarawak akan terus diketuai Roland Engan Baram dan dibantu timbalannya yang baru, Ahmad Nazib Johari yang menggantikan Abun Sui.

Fahmi menambah, mesyuarat itu juga menyaksikan PKR bersiap sedia untuk menghadapi pilihan raya kecil Sungai Bakap.

Fahmi turut mengumumkan pelantikan Sangkar Rasam, Azan Ismail dan Roslan Hussin sebagai ahli majlis pimpinan pusat yang baru.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS