Dua ahli sejarah terkenal dunia yang pakar dalam sejarah Empayar British di Asia mengesahkan fakta bahawa bekas Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya (PKM) dilahirkan di Sitiawan, Perak.

Dalam sebuah buku yang diterbitkan baru-baru yang bertajuk Forgotten Wars The End of Britain's Asian Empire (London, Penguin/Allen Lane), Christopher Bayly and Tim Harper menegaskan bahawa "Chin Peng dilahirkan sebagai Ong Boon Hua, di Sitiawan, Perak." (p.35)

Bayly adalah profesor di Universiti Cambridge, dan fello di Kolej St Catharine, Cambridge. Buku lain yang ditulisnya termasuklah Imperial Meridian, Indian Society, the Making of the British Empire dan The Birth of the Modern World, 1780 -1914.

Harper pula merupakan pensyarah kanan dalam bidang sejarah di Universiti Cambridge dan Fello Kolej Magdalene, Cambridge. Beliau juga menulis buku The End of Empire and the Making of Modern Malaya . Bayly dan Harper adalah penulis bersama buku Forgotten Armies: The Fall of British Asia, 1941-45.

Identiti Chin Peng tiba-tiba menjadi perhatian awam ekoran keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Selasa lalu, yang mengarahkan beliau membuktikan dokumen kelahiran atau kerakyatannya dalam tempoh 14 hari, bagi memboleh kes mahkamahnya dapat diteruskan.

Chin Peng, 82, menyaman kerajaan Malaysia dan tiga orang lagi kerana didakwa melanggar Perjanjian Damai 1989 yang ditandatangani di Haadyai dengan PKM, apabila tidak membenarkannya pulang dan tinggal di Malaysia. Selain Chin Peng, dua lagi pemimpin PKM yang menandatangani perjanjian damai itu ialah Abdullah CD dan Rashid Maidin.

'Dirampas pihak berkuasa'

Bagaimanapun, menurut peguamnya - Darshan Singh - dokumen kelahiran atau kerakyatan Chin Peng telah lama dirampas oleh pihak berkuasa apabila tercetusnya 'Darurat' pada Jun 1948.

Seorang lagi peguambela Chin Peng, Raja Aziz Addruse berhujah bahawa tidak terdapat syarat seumpama itu dalam Perjanjian Damai 1989.

Darshan juga menegaskan bahawa mahkamah sepatutnya boleh menerima testimoni dari saudara mara Chin Ping dan sahabat handainya untuk tujuan tersebut.

Malaysiakini difahamkan, para peguam Chin Peng sedang menyediakan testimoni tersebut dalam bentuh afidavit bersumpah serta akan memfailkan rayuan terhadap keputusan mahkamah itu.

Dalam memoirnya - Alias Chin Peng: My Side of History (Singapore, Media Masters, 2003), Chin Peng menulis bahawa dia dilahirkan di pekan Setiawan Perak pada 21 Oktober 1924.

Menurut penerbitnya, kira-kira 50,000 buku tersebut (termasuk edisi bahasa Cina) dijual Malaysia, Singapura, Thailand, Britain, Australia, China and negara-negara lain.

Chin Peng juga melawat Britain pada 1998, Australia pada 1999 serta Singapura pada 2004 dan 2006. Pada 1998, beliau diwawancara oleh BBC dan juga akhbar Sin Chew Jit Poh.

Sehingga ini, tiada pihak, termasuk orang awam dan pihak akademik, yang mempersoalkan biodata Chin Peng termasuk tarikh dan tempat kelahirannya. Berita asal