PKR anggap NCER manifesto praya BN
Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) berpendapat Projek Koridor Ekonomi Wilayah Utara (NCER) seolah-olah satu manifesto pilihanraya Barisan Nasional (BN) menjelang pilihanraya yang akan datang.
Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) berpendapat Projek Koridor Ekonomi Wilayah Utara (NCER) seolah-olah satu manifesto pilihanraya Barisan Nasional (BN) menjelang pilihanraya yang akan datang.
Malah, kata parti pembangkang itu, projek mega seperti NCER akan menjadi satu lagi projek 'gajah putih' seperti apa yang dialami oleh Koridor Multimedia (MSC) di Cyberjaya.
Setiausaha Agung PKR, Tan Sri Khalid Ibrahim berkata, walaupun perancangannya dapat membantu meningkatkan ekonomi dan sosial petani dan rakyat Kedah dan Perlis, tetapi PKR menjangka keuntungan daripada projek-projek tersebut tidak akan disalur secara samarata, .
Sebaliknya, kata beliau, keuntungan itu hanya akan diperolehi segelintir kroni seperti kegagalan yang berlaku dalam Dasar Ekonomi Baru (DEB).
"Penerima-penerima tender bagi NCER ini sepatutnya dimaklumkan kepada umum agar projek yang menggunakan satu pertiga modal daripada hasil kutipan cukai rakyat.
"Kerajaan juga perlu mendedahkan apa kontrak-kontrak yang dikeluarkan bagi NCER bagi memastikan projek tersebut tidak diselewengkan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Tidak berdayasaing
Katanya, persoalan yang ingin dibangkitkan oleh PKR ialah mengapa projek tersebut mementingkan tanaman padi dan pertanian, memandangkan tanaman tersebut tidak berdayasaing berbanding dengan negara jiran, khususnya di Thailand.
"NCER tidak melibatkan pelan pemasaran yang menyeluruh yang mana ianya berkemungkinan akan mengalami lambakan dan memberi kesan kejatuhan kepada harga padi," tambahnya.
Menurut beliau, pelaksanaan NCER ini jelas menunjukkan kaedah penanaman yang diperkenalkan oleh Kementerian Pertanian sebelum ini gagal.
"Penanaman dua kali setahun juga tidak berjaya menghasilkan produktiviti yang setimpal,"
Katanya.
Ketika melancarkannya Isnin lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, pelaburan RM177 bilion diperlukan untuk membangunkan NCER dehingga tahun 2025.
Kata Perdana Menteri, satu pertiga daripadanya dianggar datang dari kerajaan manakala dua pertiga lagi dari pelaburan swasta, termasuk melalui inisiatif pembiayaan swasta (PFI).

