Agihan kerusi diputuskan oleh Dewan Tertinggi BN, kata Muhd Taib
Umno sentiasa berusaha untuk mendapatkan kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang majoriti pengundi Melayu yang kini ditandingi calon parti komponen Barisan Nasional (BN), kata Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Muhammad Muhd Taib.
Umno sentiasa berusaha untuk mendapatkan kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang majoriti pengundi Melayu yang kini ditandingi calon parti komponen Barisan Nasional (BN), kata Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Muhammad Muhd Taib.
Beliau berkata, ketika ini ada kerusi Parlimen walaupun majoriti pengundi Melayu, ditandingi oleh calon MCA atau pun MIC.
Antara kerusi Parlimen terbabit ialah Bandar Tun Razak, Wangsa Maju di Kuala Lumpur yang ditandingi calon MCA, manakala di Selangor, Hulu Selangor (MIC) dan Pandan (MCA).
"Saya hanya boleh membuat cadangan supaya kerusi majoriti Melayu ditandingi oleh Umno tetapi kata putus dibuat oleh Dewan Tertinggi BN. Saya tiada kuasa untuk melangkau kuasa Dewan.
"Sebarang keputusan yang dibuat oleh Dewan BN adalah muktamad tetapi keputusannya dibuat setelah melalui konsesus dari komponen BN," katanya ketika dihubungi malaysiakini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan bekas Ketua Umno bahagian Bandar Tun Razak, Datuk Amil Salleh bahawa kawasan tersebut sepatutnya ditandingi oleh calon Umno kerana majoriti pengundinya adalah Melayu.
Muhd Taib berkata, konsesus BN ialah tidak semua kerusi yang mempunyai majoriti pengundi Melayu akan ditandingi oleh calon Umno, sebaliknya mengikut budi persefahaman antara kaum yang dibuat sejak merdeka lagi.
'Tidak boleh tamak'
"Jika semua kerusi diberi berdasarkan majoriti pengundi, apa akan jadi dengan MIC yang tidak mempunyai sebarang kerusi majoriti pengundi India di negara ini?
"Bagi saya kita tidak boleh tamak kerana bimbang mereka rugi, kita juga rugi," katanya.
Baru-baru ini Amil berkata, Muhd Taib yang ketika menjadi Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor dan Wilayah Persekutuan, berjanji kerusi Bandar Tun Razak diberikan kepada Umno sebaik persempadanan semula Parlimen Sungai Besi dibuat pada tahun berkenaan.
Parlimen Bandar Tun Razak merupakan pecahan dari Sungai Besi dan kini mempunyai kira-kira 62,000 pengundi berdaftar dengan majoriti pengundi Melayu kira-kira 51.82 peratus.
Sejak 1995, kerusi tersebut ditandingi oleh MCA walaupun ketika ini pengundi Cina cuma 39.61 peratus, manakala India 7.91 peratus.
Pada masa ini, kerusi tersebut diwakili oleh Pengerusi Perhubungan MCA Wilayah Persekutuan yang juga Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Tan Chai Ho

