Menteri Penerangan Datuk Seri Zainuddin Maidin menyifatkan senarai "citizens' wish list" yang dikeluarkan oleh 42 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sebagai 'satu cubaan bijak untuk memecahbelahkan perpaduan rakyat negara ini'.

Katanya, senarai "citizens' wish list atau senarai aspirasi rakyat itu yang dikeluarkan oleh 42 NGO itu tidak mewakili aspirasi rakyat tetapi aspirasi segelintir orang.

Beliau berkata demikian sewaktu mengulas senarai yang dihasilkan oleh Institut Kepimpinan dan Strategi Asia (Asli) sempena sambutan ulangtahun ke-50 kemerdekaan negara, demikian menurut laporan Bernama.

Sebanyak 42 NGO yang menyumbang kepada senarai itu, mahu kerajaan menerima pakai agenda-agenda ini yang dinamakan sebagai "New Malaysian Agenda".

"Mereka (42 NGO itu) adalah golongan elit yang tidak boleh dianggap sebagai mewakili rakyat dan bukan satu kumpulan yang mewakili perasaan rakyat di bawah dan mereka adalah terpisah daripada memahami hati dan nadi rakyat," katanya kepada pemberita selepas berucap di perhimpunan bulanan Kementerian Penerangan di Angkasapuri hari ini.

Sambil menyifatkan pendekatan yang diambil dalam perkara ini oleh kumpulan tersebut sebagai sangat chauvanistik, Zainuddin berkata prinsip-prinsip kemerdekaan negara adalah berdasarkan kontrak sosial yang telah diterima sekian lama oleh majoriti rakyat negara ini serta dikukuhkan melalui Dasar Ekonomi Baru yang bertujuan mengimbangkan kedudukan ekonomi antara kaum di negara ini.

'Menidakkan realiti'

"Adalah satu perkara yang mengejutkan bahawa 42 kumpulan yang dianggap sebagai satu kumpulan orang yang terpelajar tidak dapat melihat hakikat sebenar cara-cara yang terpelajar.

"Ini adalah dikesalkan dan ianya menyinggung perasaan majoriti rakyat negara ini...satu cubaan secara bijak untuk memecahbelahkan perpaduan rakyat," katanya.

Katanya, , walaupun daripada lapan agenda itu, ada yang boleh diterima, tetapi agenda pertama mengenai nasional, tidak boleh diterima sama sekali kerana ia tidak berlandaskan kepada realiti sebenar serta pencapaian dalam perpaduan rakyat sejak merdeka.

Agenda pertama itu menyebut bahawa usaha baru yang berterusan diperlukan segera untuk membina semula perpaduan nasional kerana perpecahan etnik, bahasa, dan agama telah semakin mendalam menyebabkan ia menyinggung perasaan ramai rakyat di negara ini.

"Ini adalah satu kenyataan yang menidakkan realiti yang telah diakui dunia dan rakyat, serta menidakkan pencapaian Malaysia sejak Merdeka. Suatu perkara yang diiktiraf dunia dan telah dikatakan menjadi contoh (kepada dunia) ialah perpaduan rakyat dan keupayaan hidup bermuhibah," katanya.

Beliau berkata, agenda pertama dalam senarai itu adalah menjurus kepada perkauman dan mempunyai asas yang tidak menimbang nilai-nilai yang telah diterima rakyat Malaysia selama ini.

'Ikut kehendak rakyat'

Menurutnya agenda pertama yang digariskan oleh kumpulan tersebut tidak akan membantu mengukuhkan keyakinan rakyat dalam suasana negara menyambut

50 tahun kemerdekaan kerana yang perlu adalah pendapat yang boleh memupuk lagi nilai-nilai yang telah memantapkan negara selama ini dan bukan sebaliknya.

Zainuddin juga berkata beliau tidak fikir kerajaan akan menerima senarai agenda ini sebagai sesuatu yang boleh dipertimbangkan.

"Kita (kerajaan) percaya kepada cara-cara kita. Untuk memperkuatkan perpaduan nasional dan memperbaikinya kerajaan akan mengikut kehendak rakyat dan bukan kehendak 42 kumpulan ini," kataya.

Beliau berkata kebanyakan agenda lain yang digariskan itu antaranya seperti membangunkan satu sistem pendidikan bertaraf dunia, keperluan untuk terus mengekalkan daya saing serta terus memainkan peranan dalam ekonomi global, bukanlah sesuatu yang baru untuk kerajaan.

"Perkara-perkara ini sudah lama diamal serta dilaksanakan, malahan Malaysia lebih ke depan dalam mengiktiraf kepentingan ekonomi global dan

pasaran bebas dan terbuka berbanding beberapa negara besar lain," kata Zainuddin.