Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) PKR, S Manikavasagam mencabar ahli perniagaan S Vell Paari supaya mengambil tindakan undang-undang terhadapnya kerana membuat kenyataan umum yang mengaitkan anak Menteri Kerjaraya itu dengan kes kematian pelakon K Sujatha.

"Saya mencabar Vell Paari (menyaman saya)," kata Manikavasagam dalam satu kenyataan hari ini, yang turut mengandungi beberapa dakwaan baru terhadap Vell Paari berhubung kematian Sujatha.

Vell Paari (foto), 44, adalah ketua pegawai eksekutif Maika Holdings, syarikat pelaburan MIC. Dia juga adalah anak Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu.

Sujatha, 29, adalah setiausaha sulit Vell Paari di Maika Holdings. Dia disahkan meninggal dunia di sebuah hospital di Klang pada 25 Jun lalu. Suasana sekitar kematiannya tidak dapat dipastikan, walaupun terdapat laporan media yang menyatakan dia mati kerana keracunan paraquat.

Ekoran kematian Sujatha itu, Manikavasagam telah membuat laporan polis berhubung perkara itu selepas menerima sepucuk surat yang mendakwa wujud unsur jenayah dalam kematian Sujatha.

Selepas itu, Manikagasagam membuat dakwaan yang sama ketika dia menyerahkan satu memorandum kepada ibupejabat polis di Bukit Aman, menggesa supaya sebuah badan bebas ditubuhkan untuk menyiasat kes tersebut.

Laporan polis dan penyerahan memorandum itu telah mendapat liputan meluas dalam akhbar berbahasa Tamil.

Dalam reaksinya semalam, Vell Paari menafikan dia ada kena mengena dengan kematian Sujatha. Dia juga berkata akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang didakwanya membuat tuduhan tersebut untuk kepentingan politik.

Gayahidup mewah

Dalam kenyataannya hari ini, Manikavasagam turut menimbulkan keraguan tentang bagaimana Sujatha boleh menjalani kehidupan mewah sedangkan dia hanya seorang pelakon drama dan setiausaha Vell Paari.

"Kehidupan mewah Sujatha - termasuk sebuah kereta mewah dan kondominium mewah - menimbulkan kemusykilan kepada orang awam..."

"Tentu ada seseorang yang membiayai kemewahan ini," kata Manikavasagam.

Beliau juga mengulangi gesaannya supaya ditubuhkan sebuah badan khas yang melaporkan terus kepada Ketua Polis Negara untuk menyiasat kes tersebut.

Ketika dihubungi, Manikavasagam (kiri) berkata dia mempunyai bukti untuk menyokong dakwaan yang dibuatnya dalam kenyataan tersebut.

Dalam satu lagi perkembangan, Ketua Polis Sentul, ACP K Kumaran mengesahkan, beliau telah membuat laporan polis bagi menafikan dakwaan dalam surat yang diserah oleh Manikavasagam kepada polis itu.

"Penulisnya mempunyai agenda tersembunyi untuk mencemarkan imej saya," kata Kumaran, yang menyifatkannya sebagai "surat layang".

Katanya, dia membuat laporan tersebut pada 28 Julai lalu, sehari selepas Manikavasagam (foto) membuat laporan polis.

Surat tersebut, antara lain, mendakwa Kumaran cuba menutup kes tersebut, tuduhan yang telah berulangkali dinafikannya kepada media.

Siasatan terhadap kes tersebut sedang berjalan. Vell Paari adalah antara individu yang telah dipanggil untuk disoalsiasat. Polis dijangka mengambil keterangan daripada pihak berkuasa hospital, rakan-rakan Sujatha dan saudara mara. Berita asal