Ahli Majlis Tertinggi Umno, Reezal Merican Naina Merican mahu kerajaan negeri menerusi Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) memperluaskan program rebat bersasar khas kepada golongan tertentu iaitu rebat mesra keluarga.

Ia susulan kenaikan tarif air baru-baru ini oleh Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), yang dilaporkan sebahagiannya bertujuan untuk mengurangkan penggunaan berlebihan.

“Jumlah pendapatan isi rumah bagi skim rebat mesra keluarga untuk B40 perlu disemak semula sejajar dengan pendapatan garis kemiskinan yang telah disemak semula pada tahun 2022.

“Nilai RM2250 adalah pendapatan garis kemiskinan bagi kategori rakyat miskin bukan lagi pendapatan isi rumah bagi golongan B40 pada masa ini.

“Kelompok B1 dalam kategori B40 terkini adalah mereka yang pendapatan isi rumah kurang dari RM2560 sebulan, manakala bagi B2 adalah di antara RM 2560 hingga RM3439 sebulan,” katanya yang juga Adun Bertam dalam satu kenyataan.

Kadar air baharu di Pulau Pinang ialah 62 sen bagi 20 meter padu pertama (naik 182 peratus daripada 22 sen), RM1.17 untuk jalur kedua melebihi 20 meter padu kepada 35 meter padu (naik 154 peratus daripada 46 sen) dan RM2. 07 untuk jalur ketiga lebih daripada 35 meter padu.

Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP K Pathmanathan dalam satu kenyataan pada Sabtu, berkata syarikat konsesi air itu memerlukan dana tambahan untuk melaksanakan projek yang bertujuan memastikan bekalan air masa depan untuk Pulau Pinang terjamin.

"Sebarang kelewatan atau rebat kadar air akan mengurangkan pembiayaan PBAPP.

"Oleh itu, kelewatan atau rebat kadar air seperti itu akan melambatkan atau menjejaskan pelaksanaan penyelesaian kejuruteraan bekalan air PBAPP untuk manfaat Pulau Pinang," katanya.

Mengulas lanjut, Reezal berkata pihaknya dihujani aduan dan rungutan susulan kenaikan baru kadar air di Pulau Pinang.

Prihatin dengan nasib rakyat Reezal mengemukakan cadangan terbabit dan berharap kerajaan negeri Pulau Pinang khususnya PBAPP mempertimbangkan langkah-langkah yang boleh diambil bagi meringankan beban rakyat ketika ini.

“Seusai Sidang DUN petang kemarin, saya dihujani aduan dan rungutan daripada rakyat mengenai bil air yang dikatakan telah naik begitu tinggi berikutan pelarasan tarif air di seluruh Semenanjung dan Labuan oleh SPAN.

“PBAPP perlu lebih gigih mempromosikan skim rebat mesra keluarga yang ditawarkan oleh PBAPP kepada keluarga B40 dengan pendapatan isi rumah RM2,250 sebulan dan ke bawah supaya lebih ramai rakyat maklum mengenai perkara ini.

“Semoga cadangan dan syor ini mendapat perhatian dan pertimbangan kerajaan Negeri Pulau Pinang yang telah terbukti sentiasa cakna dan prihatin dengan pemasalahan rakyat. Keluarga Pulau Pinang sentiasa jadi keutamaan selaras dengan gagasan Penang 2030,” katanya.