Amerika dakwa dua rakyat M'sia bantu pengganas
Jabatan Keadilan Amerika, Daerah California Utara, mengumumkan 16 tuduhan terhadap dua adik beradik rakyat Malaysia - Zulkifli Abdir dan abangnya Rahmat Abdhir - yang didakwa menyokong kegiatan kumpulan radikal Islam di Filipina.
Jabatan Keadilan Amerika, Daerah California Utara, mengumumkan 16 tuduhan terhadap dua adik beradik rakyat Malaysia - Zulkifli Abdir dan abangnya Rahmat Abdhir - yang didakwa menyokong kegiatan kumpulan radikal Islam di Filipina.
Amerika mendakwa Zulkifli, 41, adalah seorang pengganas yang tinggal di Filipina manakala abangnya Rahmat Abdhir tinggal di San Jose, California.
Menurut kenyataan jabatan itu semalam, sepanjang tempoh lebih 12 bulan sehingga Jun lalu, Rahmat, 43, telah menghantar wang, radio komunikasi dua-hala, klip peluru pistol, teropong, pakaian penyamaran, dan barangan lain kepada Zulkifli, 41, atas permintaan adiknya itu, untuk melancarkan perang terhadap tentera Filipina.
Zulkifli Abdhir, yang turut menggunakan nama Marwan dan Hulagu, dinamakan oleh Amerika sebagai "pengganas khas global" pada 2003 dan Jabatan Negara Amerika menawarkan hadiah wangtunai lima AS$5 juta untuk menangkapnya.
Menurut Amerika, Zulkifli yang didakwa mempunyai hubungan dengan kumpulan radikal Islam, Kumpulun Mujahidin Malaysia dan Jemaah Islamiyah, telah mengadakan latihan membuat bom untuk anggota kumpulan Abu Sayyaf dan di Filipina, dia bekerja dengan kumpulan pemisah, Barisan Pembebasan Islam Moro.
Zulkifli dituduh membekalkan bahan-bahan untuk membantu kumpulan pengganas dan tuduhan berkaitan yang lain.
Ditangkap di California
Abangnya Rahmat ditangkap Khamis lalu di tempat kerjanya di Sunnyvale, California, dan menghadapi tuduhan membekalkan bahan-bahan untuk membantu kumpulan pengganas dan tuduhan berkaitan yang lain.
Tuduhan itu berkata, antara Jun 2006 dan Jun 2007, Rahmat telah menghantar wangtunai berjumlah lebih AS$10,000 kepada adiknya itu, dengan menggunakan nama dan alamat palsu, serta peralatan-peralatan yang diminta oleh adiknya itu.
"Dengan penangkap dan pendakwaan tersebut, kita telah menutup saluran yang digunakan oleh seorang rakyat Amerika yang membekalkan kepada seorang pengganas radio komunikasi dua-hala dan bahan-bahan lain untuk operasinya di seberang laut," kata Penolong Peguam Negara bagi Keselamatan Negara, Kenneth Wainstein dalam satu kenyataan.
- AFP

