Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, peningkatan aktiviti pembangkang di Sabah tidak semestinya mendapat sokongan rakyat.

Katanya, walaupun parti pembangkang telah melakukan beberapa usaha terkini untuk meluaskan sokongan mereka termasuk di Sabah, namun ia tidak mendapat sokongan rakyat.

"Inilah yang mereka lakukan di Ijok. Mereka (pembangkang) telah mengambil sikap yang begitu agresif tanpa mengambil kira soal prinsip dan kebenaran...mereka terus menyerang pemimpin dan sebagainya. Saya anggap ini sebagai gempar.

"Mereka buat gempar tapi akhirnya rakyat akan menilai secara waras dan rasional bahawa kepentingan mereka lebih terjamin di bawah Barisan Nasional (BN) dan saya yakin di Sabah pun perkara yang sama akan berlaku," katanya selepas merasmikan mesyuarat perwakilan serentak bahagian Umno Putatan, Sepanggar dan Penampang di Kota Kinabalu hari ini.

Sebaliknya, kata Najib yang juga Timbalan Presiden Umno, Sabah adalah "fixed deposit" atau kubu kuat BN dalam pilihanraya yang akan datang, demikian menurut laporan Bernama.

'Benteng BN'

Sehubungan itu, beliau yakin Sabah boleh boleh mengulangi pencapaian cemerlangnya dalam pilihanraya umum akan datang.

"Saya anggap Sabah sebagai "fixed deposit" kerana Sabah adalah kubu kuat kita...setiap kali pilihanraya diadakan, Sabah merupakan kubu benteng kita.

"Jadi harapan pucuk pimpinan parti ialah sokongan ini akan kekal pada pilihanraya akan datang. Mungkin di negeri lain ada yang boleh dianggap 'current account' (sokongan yang berubah-ubah) tetapi biarlah Sabah kekal sebagai 'fixed deposit' untuk BN," katanya.

Mengenai pilihanraya, Najib berkata, seruan beliau untuk memantapkan kekuatan Umno dan BN di semua peringkat tidak menjurus kepada satu masa tertentu atau tarikh pilihanraya diadakan.

"Tentu sekali Perdana Menteri akan melihat segala-galanya termasuk persediaan kita sebagai sebuah parti dan suasana negara," katanya.