Syarikat katering, PichaEats, akan membuat laporan polis selepas mendakwa mereka diperdaya untuk menyediakan makanan bagi acara oleh seseorang yang menyamar sebagai wakil Universiti Malaya.
Menurut syarikat itu mereka diyakinkan untuk membuat hidangan bagi majlis yang dihadiri seramai 500 orang.
PichaEats berkata ia menerima pesanan itu melalui surat yang kelihatan rasmi dengan logo Kementerian Pengajian Tinggi dan UM pada 5 Jun.
Permintaan untuk mendapatkan khidmat syarikat terbabit didakwa dibuat selepas pengusaha katering sebelumnya menarik diri pada saat-saat akhir.
Hanya selepas menandatangani dokumen yang berkaitan barulah syarikat terbabit mendakwa mendapat tahu mereka ditipu untuk menyediakan makanan bagi majlis yang tidak wujud.
PichaEats juga kemudiannya mendapati syarikat katering lain juga pernah ditipu dengan modus operandi yang sama sehari sebelumnya, mengakibatkan kerugian kewangan yang besar.
"Kami akan membuat laporan polis dan akan memaklumkan UM tentang penipu menggunakan nama mereka.
"Sementara itu, 15 cef Picha membeli bahan-bahan untuk menyediakan hidangan untuk 500 orang.
"Jika anda memerlukan makanan untuk hari ini (makan tengah hari, minum petang, makan malam) untuk keluarga anda, atau majlis di pejabat, atau ingin menderma supaya kami dapat mengedarkan makanan kepada komuniti yang memerlukan, sila DM kami," katanya dalam kenyataan yang dikongsi di Facebook.

Sebagai pengumuman perkhidmatan awam, PichaEats menggesa rakan perniagaan untuk menyemak mesej daripada sebarang nombor telefon yang mencurigakan di laman web semakmule Polis Diraja Malaysia.
Malaysiakini telah menghubungi UM untuk mendapatkan ulasan dan sedang menunggu jawapan.
