Anwar: Wawasan asal DEB telah dilupakan
Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, wawasan asal Dasar Ekonomi Baru (DEB) untuk mencapai keadilan sosial dan memupuk semula keadilan nasional, telah dilupakan.
Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, wawasan asal Dasar Ekonomi Baru (DEB) untuk mencapai keadilan sosial dan memupuk semula keadilan nasional, telah dilupakan.
Sebaliknya, kata beliau, DEB disalahgunakan untuk kepentingan segelintir pemimpin Umno, kroni dan rakan-rakan mereka dalam MCA dan MIC untuk membolot saham, kontrak dan program penswastaan.
"Dasar ini juga telah membuka ruang yang lebih luas kepada rasuah dan lain-lain jenayah kewangan serta penyalahgunaan kuasa," katanya di Konvensyen Hari Keadilan Rakyat anjura PKR di ibunegara Sabtu lalu.
Anwar yang juga ketua umum PKR berkata, jurang pendapatan semakin melebar antara golongan kaya dengan golongan bawahan yang kurang bernasib baik.
Menurutnya, pada 2005, Malaysia mempunyai jurang pendapatan terbesar di Asia Tenggara, malah di belakang Indonesia dan Thailand.
"Perbezaan kawasan bandar dan luar bandar juga cukup ketara, yang tidak diselesaikankan oleh tindakan afirmatif.
Pada 1999, pendapatan isu rumah luar bandar hanya 55 peratus daripada pendapatan isi rumah di bandar dan kebanyakan keluarga miskin di luar bandar terletak di Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis dan majoritinya Melayu," katanya dalam kertas kerja bertajuk Agenda Ekonomi Malaysia: Memikirkan Sesuatu Yang Baru.
Pada masa yang sama Anwar berkata, kemiskinan juga tidak diselesaikan, walaupun kerajaan mendakwa kadar kemiskinan telah turun dari 29 peratus pada 1980 kepada lima atau enam peratus pada 2000.
Garis kemiskinan
Katanya, kadar pendapatan untuk mengukur garis kemiskinan juga terlalu rendah, iaitu RM510 untuk penduduk pantai barat Semenanjung Malaysia langsung tidak realistik.
Menurutnya, masyarakat bumiputera dibelai dengan propaganda dasar yang akan menyelamatkan mereka tetapi tidak terdapat wacana terbuka mengenai kesan atau relevannya dasar tersebut, atau apakan ia dasar yang lebih menguntungkan bumiputera dan rakyat keseluruhannya.
"Apa yang dimusykilkan ialah masyarakat bumiputera terus menggantung harapan kepada satu dasar yang dianggap penyelamat, tetapi berpuluh bilion ringgit dirompak di depan mata," katanya.
Anwar berkata, masyarakat bukan bumiputera pula resah gelisah dan gusar merenungkan anak pintar dinafikan peluang pendidikan di universiti tempatan, kontrak dikaut oleh kelompok kecil dan pemacuan ekonomi keseluruhannya yang agak lembab.
Dan amat malang sekali, katanya, setelah 50 tahun merdeka, rakyat masih tidak didedahkan dengan fakta dan wacana dasar ekonomi seperti ini terus dianggap sensitif.
Menurutnya, bagi mengatasi kepincangan ekonomi, Malaysia perlu berani menggantikan dasar lama dengan agenda ekonomi baru dan menghadapi cabaran globalisasi.
Beliau berkata, juga penting untuk bergerak ke hadapan dan tidak bergantung kepada kejayaan masa lampau dan berani mengaku bagaimana Malaysia ketinggalan berbanding negara-negara serantau seperti Singapura, Korea Selatan dan Taiwan.
Konvensyen sehari itu dihadiri ialah Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail, pucuk pimpinan PKR dan kira-kira 100 ahli dan penyokong parti itu.

