Keretakan di SPE? K'jaan arah LLM, syarikat konsesi bertindak
Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan syarikat konsesi Lebuhraya Setiawangsa-Pantai (SPE) diarah membuat pemeriksaan dan penilaian segera di persimpangan bertingkat lebuh raya berkenaan yang didakwa retak.
Menteri Kerja Raya Datuk Sri Alexander Nanta Linggi menerusi akaun X berkata keselamatan semua pihak terutama pengguna jalan raya amat dititikberatkan.
Beliau berkata demikian sebagai reaksi kepada satu hantaran menerusi akaun X berserta gambar yang mendakwa keretakan di persimpangan bertingkat lebuh raya berkenaan semakin besar.
“Saya amat memandang serius perkara ini,” kata Nanta.
SPE dibuka sepenuhnya pada 3 Nov lepas mempunyai laluan tiga lorong dua hala dan tujuh persimpangan bertingkat.
SPE dibahagikan kepada empat seksyen utama iaitu Kerinchi - Salak (Seksyen 1), Salak - Pandan (Seksyen 2), Pandan - Setiawangsa (Seksyen 3) dan Setiawangsa - Taman Melati (Seksyen 4) dengan jarak keseluruhan sepanjang 20.7 kilometer.
Ia menghubungkan beberapa lebuh raya lain seperti Lebuhraya Skim Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (Sprint), Lebuhraya Bertingkat Ampang - Kuala Lumpur (Akleh), Lebuhraya Duta - Ulu Kelang (Duke), Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 Kuala Lumpur (MRR2) dan lain-lain bagi meningkatkan kecekapan rangkaian dan mengurangkan kesesakan di ibu negara.
- Bernama
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/11/50861c1bb6994f2c29c13f7979fb089a.jpg)
