Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
SPRM tahan 3 penjawat awam, seorang bekas penjawat awam terima rasuah RM500k
Diterbitkan:  Jun 8, 2024 2:34 PM
Dikemaskini: 6:34 AM

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kuala Lumpur menahan tiga penjawat awam dan seorang bekas penjawat awam, kerana dipercayai menerima rasuah secara bulanan sehingga RM500,000 daripada premis perniagaan haram di ibu negara.

Sumber SPRM memaklumkan tiga suspek melibatkan timbalan pengarah dan anggota pihak berkuasa tempatan (PBT) serta anggota agensi penguat kuasa itu, direman tujuh hari sehingga 14 Jun manakala seorang suspek lagi yang merupakan bekas anggota agensi penguat kuasa, direman selama lima hari sehingga 12 Jun.

Menurut sumber itu perintah reman terhadap kesemua suspek lelaki berusia antara 30 hingga 40-an dikeluarkan Majistret Shairil Farhana Ruslan, selepas permohonan dibuat SPRM di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Dang Wangi.

Suspek utama yang merupakan timbalan pengarah PBT, dipercayai menerima wang rasuah secara bulanan antara RM100,000 hingga RM500,000 sejak beberapa bulan lalu, daripada premis yang menjalankan kegiatan rumah urut dan hiburan selain premis tanpa lesen sah.

“Wang rasuah itu bagi membolehkan premis-premis perniagaan haram berkenaan beroperasi tanpa dikenakan tindakan penguatkuasaan.

“Susulan tangkapan ke atas suspek utama, SPRM kemudian menahan tiga individu lain kerana dipercayai turut menerima suapan dan berperanan sebagai orang tengah, bagi mengagihkan wang rasuah kepada beberapa anggota penguat kuasa PBT,” katanya kepada Bernama, hari ini.

Menurut sumber itu lagi, menerusi tangkapan ini SPRM turut menyita wang tunai lebih RM200,000 selain barangan kemas dan 28 keping wafer emas, yang belum dikenal pasti anggaran nilai dan berat.

Beliau berkata kesemua suspek ditahan di beberapa lokasi sekitar ibu negara dalam operasi yang diadakan semalam.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kuala Lumpur Datuk Mohamad Fauzi Husin ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terhadap kesemua suspek berkenaan.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) dan Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS