Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Keracunan makanan: Polis panggil katering, penganjur
Diterbitkan:  Jun 11, 2024 8:37 PM
Dikemaskini: 12:37 PM

Polis akan memanggil pihak berkaitan termasuk pengusaha katering dan penganjur program di sebuah sekolah agama di Gombak dalam masa terdekat bagi membantu siastaan dua kes kematian akibat keracunan makanan.

Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan berkata turut akan dipanggil ialah guru di sekolah berkenaan.

Menurut Hussein polis masih menunggu laporan makmal berkaitan jenis keracunan makanan. Dia juga memberitahu kes itu ketika ini disiasat sebagai kematian mengejut.

“Setakat ini saya tidak ada jumlah berapa ramai yang akan dipanggil untuk memberi keterangan kerana siasatan masih awal.

“Cuma yang boleh disahkan mereka ini makan makanan yang asalnya sama dari tempat majlis itu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di Shah Alam hari ini.

Hussein memaklumkan Kementerian Kesihatan telah menutup kantin di sekolah terbabit dan setakat ini dua laporan telah dibuat berhubung kes berkenaan.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Gombak ACP Noor Ariffin Mohamad Nasir hari ini mengesahkan menerima dua laporan kes kematian melibatkan seorang remaja lelaki berusia 17 tahun dan seorang kanak-kanak perempuan berumur dua tahun.

Mereka disyaki menjadi korban keracunan makanan yang diambil dari sebuah sekolah agama di Gombak.

Noor Ariffin berkata remaja terbabit menjamah makanan yang dibawa balik ibunya sebelum mangsa tidak sedarkan diri sebelum kira-kira jam pada 1.30 tengah hari semalam. Dia kemudian disahkan meninggal dunia.

Katanya, mangsa kedua pula memakan makanan yang dibawa oleh bapanya yang bertugas sebagai pengawal keselamatan di sekolah terbabit pada Sabtu.

Awalnya mangsa mengalami demam, muntah-muntah serta cirit-birit kira-kira 10.45 pagi semalam sebelum meninggal dunia.

Mengulas berhubung kes seorang wanita warga tempatan maut dipercayai dibunuh suami sendiri di Klang pada 7 Jun lalu, Hussein berkata polis dalam proses untuk melengkapkan kertas siasatan.

“Polis sudah mengambil keterangan suspek dan keluarga mereka.

"Suspek berumur 31 tahun dan bekerja sebagai pemandu lori serta mempunyai satu rekod lampau,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan seorang wanita tempatan maut dipercayai dibunuh suami sendiri dalam kejadian di sebuah pangsapuri di Klang, Selangor.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan ACP Cha Hoong Fong berkata mangsa berusia 28 tahun ditemukan dalam keadaan terbaring di atas katil dengan kesan kelar di leher dan tangan kanan.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS