Kerusi Parlimen Bukit Gantang dikembalikan pada Umno
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohd Tajol Rosli Ghazali telah mengumumkan bahawa kerusi Parlimen Bukit Gantang yang kini diwakili oleh Gerakan, akan dikembalikan kepada Umno dalam pilihanraya umum akan datang.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohd Tajol Rosli Ghazali telah mengumumkan bahawa kerusi Parlimen Bukit Gantang yang kini diwakili oleh Gerakan, akan dikembalikan kepada Umno dalam pilihanraya umum akan datang.
Ketua Umno Bukit Gantang, Datuk Mat Isa Ismail, ketika dihubungi malaysiakini, mengesahkan perkara tersebut dan menambah, Umno bahagian menyambut baik dan mengalu-alukan keputusan yang dibuat oleh Tajol Rosli (foto) yang juga Pengerusi Umno dan Barisan Nasional (BN) Perak itu.
Mat Isa yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak berkata, Menteri Besar telah mengumumkan perkara tersebut sekurang-kurangnya dua kali - pertama dalam mesyuarat Umno negeri dua bulan lalu.
Kali kedua, katanya, Menteri Besar mengumumkan perkara itu dalam perhimpunan parti-parti komponen BN Perak, awal bulan lalu.
"Jadi saya dan Umno bahagian Bukit Gantang menganggap kerusi Parlimen tersebut akan ditandingi oleh calon Umno dalam pilihanraya umum akan datang.
"Berita ini sungguh menggembirakan kira-kira 20,000 ahli Umno Bukit Gantang dan orang Melayu keseluruhannya," katanya Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Changkat Jering.
Sepenggal sahaja
Parlimen Bukit Gantang kini diwakili oleh Datuk Tan Lian Hoe yang juga Ketua Wanita Gerakan yang ditandinginya dalam pilihanraya umum lalu.
Sebelum itu, Bukit Gantang merupakan kawasan tradisi Umno. Kerusi itu diberikan kepada Gerakan ekoran Parlimen Taiping yang sebelumnya ditandingi Gerakan, telah diberikan kepada Parti Progresif Rakyat (PPP).
Mengikut laporan akhbar sebelum ini, dalam perjanjian dalam pilihanraya 2004, PPP perlu memulangkan semula kerusi Parlimen Taiping kepada Gerakan pada pilihanraya akan datang.
Para pemimpin Umno khususnya di Perak juga mahu kerusi Parlimen Bukit Gantang dikembalikan semula kepada parti dalam pilihanraya umum akan datang.
Mat Isa berkata, keputusan pucuk pimpinan BN mengembalikan semula Parlimen Bukit Gantang kepada Umno dalam pilihanraya umum akan datang umpama `sirih pulang ke gagang' dan `ikan pulang ke lubuk.'
Bukit Gantang, katanya, memang merupakan kawasan tradisi Melayu di mana kira-kira 65 peratus penduduknya yang berjumlah 100,000 orang, adalah orang Melayu.
Kompromi politik
Beliau berkata, sebelum diserahkan kepada Gerakan, kerusi Bukit Gantang diwakili oleh bekas Timbalan Menteri Luar, Datuk Dr Abdullah Fadzil Che Wan.
Jumaat lalu, Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, kerusi Parlimen Bukit Gantang diserahkan kepada Gerakan dalam kompromi politik, bertujuan untuk membolehkan PPP bertanding di kerusi Parlimen Taiping, sebuah kubu kuat Gerakan.
Bagaimanapun, beliau yang juga Timbalan Menteri Penerangan berkata, persefahaman tersebut adalah untuk satu penggal sahaja dan oleh itu, kerusi tersebut perlu dikembalikan semula kepada Umno dalam pilihanraya umum kali ini.
"Persefahaman tersebut adalah untuk satu penggal sahaja. Kita menuntut agar kerusi itu dikembalikan semula kepada Umno pada pilihanraya umum yang akan datang ini.
"Kita faham Umno Perak terpaksa berkorban kerana negeri-negeri lain tidak mahu memberikan kerusi kepada PPP," kata Ahmad Zahid kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Ayer Hitam, di Batu Pahat.
Manakala pemangku Presiden Gerakan, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Ahmad Zahid itu berkata, perkara itu akan diputuskan oleh Menteri Besar Perak.

