Dr Ting didakwa mahu lagakan pemimpin Umno...
Beberapa pemimpin Umno tidak setuju dengan kenyataan bekas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Dr Ting Chew Peh yang mendakwa kenyataan-kenyataan yang dibuat Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein dan Khairy Jamaluddin telah mencemarkan kepimpinan Perdana Menteri , Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Beberapa pemimpin Umno tidak setuju dengan kenyataan bekas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Dr Ting Chew Peh yang mendakwa kenyataan-kenyataan yang dibuat Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein dan Khairy Jamaluddin telah mencemarkan kepimpinan Perdana Menteri , Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Sepatutnya, kata mereka, Dr Ting sebagai pemimpin lama dalam MCA, boleh membawa perkara tersebut ke mesyuarat Barisan Nasional (BN) untuk menyatakan ketidakpuasannya itu.
Untuk itu, Ketua Umno bahagian Cheras, Senator Datuk Syed Ali Alhabsee berkata, MCA sebagai komponen kedua terbesar BN, perlu melihat apa perlu dan tujuannya seorang bekas pemimpin utama mereka mengeluarkan kenyataan sedemikian rupa.
"Saya berkata, Ting seorang yang kecewa dan beliau mahu melaga-lagakan pemimpin Umno. Kenyataan tersebut tidak berguna langsung.
"Pemimpin Umno telah dilatih untuk memimpin negara dan kemajuan yang ada sekarang merupakan perjuangan dan hasil usaha pemimpin Umno," katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Dr Ting yang berkata, kaum Cina tidak gembira dengan beberapa siri kenyatan yang dibuat oleh pemimpin Umno terbabit.
Dr Ting dilaporkan berkata: "Ini terutamanya Hishammuddin yang enggan bertemu dengan pertubuhan pendidikan Cina Dong Jiao Zong. Orang Cina fikir beliau sombong."
Cemar nama PM
"Sentimen ini kembali kepada Perdana Menteri sebab beliau merupakan ketua (parti)," kata Dr Ting kepada malaysiakini semalam.
Syed Ali berkata, Dr Ting juga seolah-olah memperkecilkan perkongsian kuasa yang telah dipersetujui dalam BN sejak sekian lama.
Katanya, dakwaan tersebut sengaja dibuat untuk merosak dan mencemarkan nama baik Perdana Menteri terutama dalam menghadapi pilihanraya umum akan datang.
Sementara itu, Ahli Parlimen Johor Bahru, Datuk Shahrir Abdul Samad berkata, sebagai bekas pemimpin kanan MCA, Dr Ting seharusnya bertemu dengan pemimpin berkenaan bagi meluahkan ketidakpuasan hatinya.
Katanya, adalah tidak tepat untuk mengatakan bahawa imej Perdana Menteri jatuh hanya disebabkan kenyataan yang dibuat oleh beberapa pemimpin Umno.
"Begitu juga tidak mungkin imej Perdana Menteri akan jatuh hanya kerana kenyataan yang dibuat oleh pemimpin MCA, " katanya.
Shahrir bertanya: "Apa akan berlaku jika pemimpin Umno membuat komen yang serupa ke atas Presiden MCA?".
Sepatutnya, kata beliau, Dr Ting boleh meminta MCA untuk membawa pandangan beliau itu kepada pucuk pimpinan BN dan bukannya mengemukakan pandangan secara bersendirian.

