Polis tidak mempunyai bidangkuasa untuk menyiasat atau menahan seorang pelajar Malaysia di sebuah universiti di Taiwan yang dikatakan menghina lagu Negaraku dan menyindir kerajaan, kata Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Mohd Najib Abdul Aziz.

Beliau berkata, polis tidak boleh mengambil apa-apa tindakan kerana kejadian tersebut berlaku di luar negara, demikian menurut laporan Bernama.

"Polis hanya boleh kuatkuasa undang-undang terhadapnya sekiranya kejadian itu berlaku dalam negara," katanya kepada pemberita selepas majlis Sayembara Deklamasi Puisi Bulan Kemerdekaan peringkat Polis Diraja Malaysia (PDRM) malam tadi.

Bagaimanapun Mohd Najib berkata polis akan menjalankan siasatan sekiranya ada pihak di negara ini yang melaporkan kejadian tersebut kepada badan berkuasa itu.

Mohd Najib berkata demikian ketika diminta mengulas laporan akhbar tempatan hari ini mengenai aksi pelajar itu yang dikenali sebagai "Namewee" dalam sebuah video klip yang menggunakan bahasa kasar serta lucah semasa menyanyikan Negaraku yang diselitkan dengan nyanyian rap dalam bahasa Mandarin.

Lebih teruk lagi, lapor Bernama, lagu Negaraku turut diberikan dengan nama baru iaitu "Negarakuku" dalam video klip yang disiarkan selama lima minit 32 saat di sebuah lamanweb sejak pertengahan bulan lalu.

Menurut Bernama lagi, pelajar berusia 24 tahun itu, yang dikatakan sedang mengikuti jurusan Komunikasi Massa di Universiti Ming Chuan, Taiwan turut memperlekehkan umat Islam serta menyindir anggota polis serta kakitangan kerajaan.

Kira-kira setengah juta orang telahpun menyaksikan klip video selama enam minit itu. Di permulaan klip video tersebut, dengan bendera Malaysia sebagai latarbelakangnya, Namewee menujukan lagu tersebut kepada 'semua rakyat Malaysia, terutamanya kerajaan'.

Klip video YouTube