Polis soalsiasat isteri Raja Petra
Polis menyoalsiasat Marina Lee Abdullah - isteri blogger Raja Petra Kamaruddin - hari ini berhubung komen dan artikel yang tersiar dalam lamanweb suaminya, Malaysia Today .
Polis menyoalsiasat Marina Lee Abdullah - isteri blogger Raja Petra Kamaruddin - hari ini berhubung komen dan artikel yang tersiar dalam lamanweb suaminya, Malaysia Today .
Marina, 51, yang ditemani suaminya serta beberapa orang penyokong, tiba di balai polis daerah Dang Wangi di Jalan Tun HS Lee pada kira-kira jam 10.40 pagi tadi.
Beliau disoalsiasat selama kira-kira 90 minit - dari jam 11.05 pagi hingga 12.30 tengahari.
Menurut Raja Petra, yang turut menemani isterinya di bilik soalsiasat, Marina ditanya beberapa soalan mengenai pembabitannya dengan Malaysia Today dan sama ada individu-individu lain yang terbabit.
"Jawapan Marina adalah sama bagi setiap soalan: Sebagai seorang isteri beragama Islam, dia mesti patuh dan tidak boleh mengengkari kehendak suaminya. Suaminya telah mengarahkannya supaya tidak menjawab sebarang soalan yang ditanya oleh polis.
"Sebagai seorang isteri beragama Islam, dia tertakluk di bawah undang-undang Syariah dan bukan sivil. Dia tidak boleh engkar kehendak suaminya. Itulah jawatannya bagi setiap soalan," kata Raja Petra, yang memegang senashkah al-Quran ketika mereka masuk ke bilik soal-siasat.
Beliau mendakwa bahawa penyiasatan terhadapnya bermotifkan politik.
Bagaimana dengan artikel lain?
Sebelum ini, pegawai polis yang sama telah menyoalsiasat Raja Petra, 57, selama lapan jam pada 25 Julai.
Polis sedang menyiasat laporan yang dibuat oleh Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Muhammad Muhd Taib yang mendakwa, Raja Petra telah menyiarkan komen dan artikel yang menghina Islam dan Yang di-Pertuan Agong.
Raja Petra disiasat di bawah Akta Hasutan 1948 yang membawa hukuman maksimum tiga tahun penjara, denda RM5,000 atau kedua-duanya.
Dalam kenyataan penutupnya kepada polis hari ini, kata Raja Petra, Marina bertanya mengenai status penyiasatan terhadap dua lagi artikel yang didakwa berunsur hasutan yang disiarkan di Internet.
Artikel pertama yang bertajuk 'Bersatulah Kaum Cina' yang ditulis oleh seorang yang bernama 'Dr Ng Seng' dan disiarkan dalam lamanweb rasmi Jabatan Perdana Menteri, yang mendakwa orang Cina bersubahat untuk melemahkan orang Melayu melalui politik dan ekonomi.
Satu lagi artikel, oleh Kelab Penyokong Maya Umno, yang didakwa menghina agama Kristian. Parti pembangkang, DAP telah membuat laporan polis berhubung kedua-dua artikel tersebut.
Gangguan secara halus
Blogger Ahiruddin Attan dan Datin Paduka Marina Mahathir turut berada di balai polis tersebut sebagai tanda sokongan kepada Raja Petra dan isterinya.
Anak perempuan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad itu memberitahu malaysiakini bahawa tindakan polis memanggil Marina itu merupakan satu gangguan secara halus.
"Dia bukan seorang blogger. Dia hanya membantu suaminya. Apa yang mereka (polis) akan lakukan selepas ini? Panggil rakan-rakan kita?, setiausaha-setiausaha?," katanya.
Sebelum ini, seorang lagi blogger Nathaniel Tan telah ditahan pada 13 Julai lalu berhubung kandungan blognya dan dibebaskan selepas ditahan reman selama empat hari. Berita asal

