PRK SG BAKAP | Ketika pihak lawan memainkan isu latar belakang pendidikan calon PN, PAS pula kekal mempertankan Abidin Ismail daripada serangan tersebut.
Antara mereka ialah Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang Muhammad Fauzi Yusoff.
Bagi pemimpin kanan PAS itu, Abidin - yang bertanding sebagai "Abang Abidin" kali ini - mempunyai banyak pengalaman sama ada dalam politik mahupun kerjaya.
Misalnya, Abidin mempunyai pengetahuan yang mendalam berhubung selok-belok isu di Sungai Bakap selepas menjadi pegawai khas Allahyarham Nor Zamri Latiff selama hampir 10 bulan sebelum Adun terbabit meninggal dunia bulan lalu.
Dipetik harakahdaily, Fauzi berkata Abidin menunjukkan prestasi cemerlang sebelum ini melalui pelbagai pengiktirafan melalui kursus-kursus yang disertai apabila dihantar oleh majikannya.
“Pencapaian dalam kita mengukur keupayaan seseorang itu ialah kepada pengalaman dan juga pencapaian dalam profesion yang beliau sertai sebelum daripada beliau berhenti," katanya.
Fauzi dipetik berkata demikian ketika ditemui wartawan pada sesi taklimat di Unit Daerah Mengundi Ladang Sempah, Nibong Tebal, malam tadi.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari ini sebagai hari penamaan calon bagi mengisi kekosongan kerusi DUN Sungai Bakap, sebelum diikuti dengan 2 Julai sebagai hari mengundi awal.
Tarikh pengundian penuh ialah pada 6 Julai.
Menurut SPR untuk PRK ini seramai 39,279 pengundi berdaftar layak memilih calon untuk kawasan mereka. Daripada jumlah itu 57 adalah pengundi awal yang terdiri daripada anggota polis atau ahli keluarga mereka.
Isu latar pendidikan dijangka akan mewarnai suasana kempen di antara kedua-dua pihak sehingga ke detik akhir kira-kira dua minggu lagi.

Abidin pula disebutkan sebagai seorang eksekutif logistik di sebuah syarikat dan didakwa memiliki sijil ISO 14001 bagi Sistem Pengurusan Alam Sekitar. Hal itu diumumkan Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man pada malam 15 Jun lalu.
Lawannya, Joohari Ariffin, pula merupakan seorang pemegang ijazah doktor falsafah (PhD) dan pernah menjadi pengarah Institut Aminuddin Baki cawangan utara sebelum meletak jawatan tahun lalu.
Di kertas undi, Abidin akan dikenali sebagai Abang Abidin manakala lawannya sebagai Cikgu Joohari.
Fauzi berkata Abidin diyakini mampu meneruskan legasi Nor Zamri hasil pengalamannya selama ini dan memberi kelebihan buat PN.
“Alhamdulillah selepas keputusan dibuat iaitulah kita memilih calon rakyat iaitu Abang Abidin sebagai calon yang merupakan pembantu kepada Allahyarham YB Nor Zamri.
“Rata-rata kita lihat masyarakat menyambut baik (pencalonan Abidin) terutama sekali kampung beliau di Sungai Duri, masya-Allah sambutan yang sangat baik, reaksi yang cukup baik," katanya.
