Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Beradab semasa berkempen di media sosial
Diterbitkan:  Jun 22, 2024 3:08 PM
Dikemaskini: 7:08 AM

PRK SG BAKAP | Penyokong kedua-dua calon diingatkan agar sentiasa beradab dalam media sosial khususnya ketika melakukan siaran langsung (live) di sepanjang tempoh kempen yang bermula hari ini.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata ia bagi mengelakkan penyokong mana-mana parti mengeluarkan komen bersifat jelik dan melanggar undang-undang termasuk menyentuh isu 3R (kaum, agama dan institusi diraja).

“Kerisauan kita ialah orang yang mungkin menggunakan akaun palsu untuk cuba mengeruhkan keadaan atau mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang tidak baik.

“Ramai yang beranggapan kalau dia masuk komen dalam Facebook Live, TikTok Live contohnya, maka tiada kesan kepada dia… kita hendak maklumkan bahawa pemantauan ini berjalan dan sekiranya ada pihak tertentu, penyokong dari mana-mana pihak menyalahgunakan platform ini, MCMC (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia) akan mengambil tindakan,” katanya.

Fahmi ditemui pemberita ketika hadir memberikan sokongan kepada calon kerajaan perpaduan Joohari Ariffin di Jawi, Nibong Tebal hari ini.

Selain itu, Fahmi memaklumkan MCMC akan berhubung dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi memastikan tiada isu Internet semasa hari pengiraan undi pada 6 Julai ini bagi memudahkan urusan pelaporan media massa.

Dia yang juga jurucakap kerajaan berkata, beberapa pihak mengadu mengenai masalah Internet di Dewan Serbaguna Jawi, Taman Desa Jawi yang menjadi pusat penamaan calon pagi tadi.

Sementara itu, Fahmi yang juga Pengarah Komunikasi PH menyangkal dakwaan Adun Manjoi di Perak, Mohd Hafez Sabri kononnya PH menggunakan jentera kerajaan di Sungai Bakap.

“Ini dakwaan yang liar kerana tempoh PRK baru sahaja bermula dengan tamatnya penamaan calon sebentar tadi, jadi arahan daripada Perdana Menteri (Anwar Ibrahim) ialah menteri-menteri dan pihak kerajaan negeri perlu berhati-hati dan waspada, jangan menyalahgunakan jentera kerajaan untuk berkempen,” katanya.

PRK DUN Sungai Bakap membuka tirai dengan rasminya hari ini dengan menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon PH dan PN Abidin Ismail.

SPR menetapkan hari pengundian bagi PRK berkenaan pada 6 Julai, manakala pengundian awal pada 2 Julai.

Kerusi DUN Sungai Bakap yang mempunyai 39,279 pemilih terdiri daripada 39,222 pengundi biasa dan 57 anggota polis itut kosong berikutan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS