Penasihat Ekonomi kepada Setiausaha Agung DAP, Tony Pua membuat laporan polis terhadap Kelab Penyokong Maya Umno (KPMU) berhubung satu artikel yang disiarkan dalam lamanwebnya.

Puah membuat laporan tersebut di balai polis Damansara semalam. Beliau mendakwa, kandungan artikel tersebut, Riwayat Raja Petra II, menghina agama Kristian dan penganutnya.

"Polis mesti menangkap penulis, editor, penerbit serta pemilik lamanweb tersebut dan menyiasat mereka mengikut Akta Hasutan," katanya dalam sidang akhbar di Petaling Jaya hari ini.

Salinan laporan polis itu yang diperolehi oleh malaysiakini, menamakan Siddiq Akmal Ismail sebagai editor lamanweb berkenaan.

"Jika siasatan dibuat terhadap Raja Petra (Kamaruddin), kerana didakwa menghina Islam dan Yang di-Pertuan Agung, maka kita harap polis juga menyegerakan siasatan terhadap perkara ini," tambahnya.

Puah berkata, bliau tidak menjangka pihak polis akan menyiasat semua artikel yang disiarkan dalam internet apabila laporan polis dibuat, tetapi tegasnya tidak harus wujud amalan dwi-standard.

Beliau juga menggesa KPMU supaya membuang artikel tersebut dan memohon maaf kepada semua penganut Kristian dan rakyat Malaysia amnya.

Ditanya mengenai laporan polis yang dibuat terhadap lamanweb rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kerana menyiarkan komen yang didakwa berunsur hasutan, Puah berkata, pihaknya tidak dimaklumkan apa-apa mengenai kes tersebut.

Bagaimanapun, kata beliau, sekurang-kurangnya komen tersebut telah dibuang dari lamanweb berkenaan.

"Jika tidak ada apa-apa dalam masa terdekat ini, kita (DAP) akan membangkitkan perkara itu di Parlimen," katanya. Berita asal