Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sultan Selangor murka pencuri kebas tabung masjid diraja
Diterbitkan:  Jun 25, 2024 4:23 PM
Dikemaskini: 8:45 AM

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menyuarakan rasa dukacita apabila tabung di Masjid Diraja Tengku Ampuan Jemaah di Shah Alam, baru-baru ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Diraja Selangor, Sultan Sharafuddin "amat murka" dengan pelaku yang tergamak mencuri duit tersebut, yang merupakan sumbangan orang ramai dan untuk kesejahteraan umat Islam di kawasan itu.

"Baginda mengingatkan bahawa perbuatan mencuri adalah perbuatan keji dan merupakan satu dosa besar khususnya apabila melibatkan kebajikan untuk golongan kurang berkemampuan seperti asnaf dan anak-anak yatim," menurut kenyataan itu, sambil menambah baginda juga berharap kejadian itu tidak akan berlaku lagi di mana-mana masjid.

Masjid tersebut dinamakan sempena Raja Permaisuri Selangor yang kedua, Tengku Ampuan Hajah Jema'ah binti Almarhum Raja Ahmad dan dirasmikan oleh Sultan Sharafuddin pada 2013.

Ia dibina dengan belanja sebanyak RM25.5 juta dengan sebahagian dana diperoleh daripada dana wakaf Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, iaitu bekas sultan Selangor yang juga ayahanda baginda.

Sementara itu, Sultan Sharafuddin juga kecewa dengan pihak pengurusan masjid tersebut kerana tidak membuat laporan rasmi berhubung kejadian itu kepada Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

"Baginda tidak mahu kelalaian seumpama ini berulang lagi dan menitahkan agar ahli jawatankuasa masjid mengambil langkah-langkah pencegahan awal yang lebih berkesan, antaranya dengan mengetatkan kawalan keselamatan dan memastikan CCTV sedia ada boleh berfungsi dengan baik," menurut kenyataan itu lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS