Umno perlu mengamalkan meritokrasi dalam pemilihan barisan kepimpinannya untuk membuka peluang kepada mereka yang layak memimpin, selaras dengan proses peremajaan dalam parti itu sekarang.

Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Datuk Mohamad Norza Zakaria berkata, ia harus bermula dengan pemilihan di peringkat bahagian, negeri dan perhimpunan agung parti , dan seterusnya dalam pemilihan calon pilihanraya dan juga dalam kerajaan.

Beliau berkata, lebih ramai pemimpin muda perlu diberi peluang untuk memimpin di semua peringkat bagi memastikan proses peremajaan semula Umno menjadi kenyataan.

"Ia merupakan proses mengembangkan pemimpin-pemimpin muda dan ianya sedang berjalan sekarang," katanya dalam satu temubual dengan malaysiakini di pejabatnya di Kementerian Kewangan di Putrajaya, Isnin lalu.

Beliau merupakan Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yaacop selain Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan.

Sehubungan itu, Norza berkata, proses peremajaan itu juga perlu mencangkupi pilihanraya umum akan datang yang dijangka diadakan awal tahun depan.

Beri peluang

Menurutnya, apabila proses ini berterusan dalam dua atau tiga penggal, maka hasil peremajaan itu akan dapat dilihat dalam semua peringkat barisan kepimpinan Umno.

"Ia seperti bermain bola sepak, pemain yang baik pun ada kekurangannya. Pemain simpanan tidak boleh tunggu lama-lama," katanya sambil tersenyum.

Beliau berkata, sejak Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengambilalih teraju pemerintahan negara tiga tahun lalu, lebih ramai pemimpin muda diberi tempat dalam parti dan kerajaan.

Menurutnya, seramai 54 calon Pemuda Umno diberi peluang bertanding di kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) oleh Abdullah dalam pilihanraya umum lalu.

Dalam temubual tersebut, Mohamad Norza juga bercakap mengenai Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan PAS khusus menjelang pilihanraya umum akan datang.

'Pembangkang tiada isu'

Beliau berkata, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini Ketua Umum PKR sudah tidak mempunyai masa depan lagi, kerana parti itu tiada isu yang boleh menarik sokongan rakyat.

PAS pula, katanya, hanya diterima di Kelantan manakala di negeri lain, termasuk Terengganu parti itu tiada penyokong.

"Nampaknya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang (Presiden PAS) kena pindah ke negeri lain," katanya berseloroh.

Mengenai tinjauan pendapat yang dijalankan oleh Merdeka Center mendapati ramai kaum Cina tidak puashati dengan ekonomi negara, Norza berkata, parti-parti komponen BN yang mewakili kaum Cina perlu turun ke bawah untuk menerangkan kepada mereka mengenai peningkatan ekonomi negara.

"Ada kecenderungan bagi pengundi Cina mengundi Barisan Nasional (BN) untuk calon Parlimen tetapi tidak untuk Dewan Undangan Negeri (DUN) atau sebaliknya," katanya.

Beliau berkata, orang Melayu akan tetap menyokong Umno kerana mereka yakin dengan parti itu yang membawa kemajuan sejak sekian lama kepada mereka.