Naib Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin berkata parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) tidak boleh memandang ringan hasil satu kajian mengenai sokongan rakyat terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Katanya, berdasarkan kajian Merdeka Center for Opinion Research itu, BN perlu mencari jawapan dan memberi penjelasan mengapa 21 peratus responden tidak menyokong Perdana Menteri.

"Kita perlu mencari punca tersebut ... kita perlu beri penjelasan kerana kita percaya tidak ada perkara yang tidak boleh dijelaskan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan Perwakilan Pemuda Umno Bahagian Beruas hari ini.

Khairy merujuk kepada laporan malaysiakini mengenai hasil kajian Merdeka Center itu yang dibuat menerusi telefon antara 14 hingga 20 Jun terhadap 1,022 responden berumur antara 21 tahun ke atas di Semenanjung Malaysia, demikian menurut laporan Bernama.

Merdeka Center yang berpejabat di Bandar Baru Bangi merupakan satu badan penyelidikan pendapat sekumpulan ahli sains sosial dan profesional dalam bidang ekonomi, sains politik, komunikasi, pengurusan pemasaran dan masyarakat awam.

Khairy berkata beliau tidak menuduh parti komponen tidak melakukan yang terbaik bagi menjelaskan kepada umum hasil kajian itu, namun beliau berharap mereka meningkatkan usaha bagi menghadapi pilihanraya

umum kelak.

Khairy: PAS bermimpi

DItanya mengenai hajat PAS untuk memenangi sekurang-kurangnya 40 kerusi Parlimen dalam pilihanraya umum akan datang, beliau berkata, parti pembangkang itu sedang `bermimpi' dan `berkhayal'.

"Tidak ada jalan PAS boleh menang kalau kamu tengok sokongan kaum Melayu kepada Perdana Menteri sampai 80 peratus, hendak cari 40 kerusi macam mana? Saya rasa dia sama ada sudah khayal ataupun sudah gila kuasa... jadi dia keluarkan kenyataan yang memang mengarut," katanya.

Menurut lamanweb rasmi Parlimen, PAS kini mempunyai enam kerusi di Dewan Rakyat iaitu lima di Kelantan - Tumpat, Pengkalan Chepa, Pasir Mas, Rantau Panjang, Kubang Kerian - dan satu di Kedah iaitu Pendang.

Dalam perkembangan lain, Khairy menyifatkan perbuatan penuntut Malaysia di Taiwan yang menghina lagu kebangsaan Negaraku sebagai berbahaya.

Katanya, Pemuda Umno menganggap tindakan Wee Meng Chee, 24, atau nama samaran Namewee, pelajar Malaysia tahun akhir Komunikasi Am di Universiti Ming Chuan, Taiwan yang menyanyikan Negaraku dalam klip video, menerusi versi ciptaannya sendiri, boleh mencetuskan kemarahan masyarakat majmuk negara ini.

"Sebarang usaha yang boleh menjejaskan kestabilan politik hendaklah diambil tindakan segera. Mungkin ada yang mengatakan bahawa ia satu bahan jenaka Internet tetapi saya khuatir jika bahan ini dilihat dan dimuat turun oleh orang biasa, bahan ini akan keluar dari alam siber dan masuk ke dalam alam realiti," katanya.