PARLIMEN l Ahli Parlimen pembangkang mempersoalkan kedudukan Zulkafperi Hanapi (Bebas- Tanjong Karang) yang bertukar dan dipindahkan di tengah-tengah antara blok kerajaan dan pembangkang di Dewan Rakyat.
Che Mohamad Zulkifly Jusoh (PN-Besut) membangkitkan perkara itu ketika sesi pertanyaan lisan pagi ini.
Dia membangkitkan peraturan mesyuarat bagi menyoal status ahli Parlimen Tanjong Karang itu.

"Minta petua pengerusi (timbalan speaker), saya nak tahu apa kedudukan (ahli Parlimen) Tanjong Karang," soalnya.
Timbalan Speaker Alice Lau kemudiannya mempersoalkan peraturan mesyuarat mana yang digunakan ahli Parlimen Besut untuk mengajukan soalan berkenaan.
"Nanti minta penjelasan daripada Speaker (Dewan Rakyat), sila duduk," kata Lau.
Che Mohamad yang tidak berpuas hati dengan penjelasan Lau menyifatkan timbalan speaker itu tidak layak mempengerusikan mesyuarat.
"Tak layak langsung," kata ahli Parlimen Besut itu lagi.

Lau kemudiannya meminta ahli Parlimen Besut itu keluar dewan jika tidak berpuas hati.
Turut membangkitkan tentang kedudukan ahli Parlimen Tanjung Karang adalah Abdul Latiff Abdul Rahman (PN- Kuala Krai).
"(Kedudukan) Tanjong Karang di tengah-tengah, pembangkang tidak, kerajaan tidak," soal Abdul Latiff.
Ahli Parlimen Tanjong Karang merupakan antara enam wakil rakyat Bersatu yang telah terhenti keahlian daripada parti itu.
Pada 24 Jun lalu, kedudukan enam wakil rakyat yang dilucutkan keahliannya daripada Bersatu itu masih kekal di blok pembangkang.

Sidang Dewan Rakyat pada Isnin minggu ini menyaksikan kerusi mereka masih dikekalkan di bahagian belakang blok E sejak pertukaran dan perubahan tempat duduk ahli Parlimen di Dewan Rakyat dikemas kini Parlimen, Mac lalu.
Bagaimanapun hari ini, kedudukan itu berubah apabila Ahli Parlimen Tanjong Karang diletakkan di bahagian tengah antara blok pembangkang dan kerajaan.
