Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Bas terbalik: 20 penumpang terbunuh
Diterbitkan:  Aug 13, 2007 12:00 PM
Dikemaskini: Jan 29, 2008 10:21 AM

Seramai 20penumpang maut manakala sembilan lagi cedera parah selepas bas ekspres yang mereka naiki terbabas dan terbalik di Km 229, Lebuhraya Utara-Selatan dekat Bukit Gantang awal pagi tadi.

Pemandunya dikatakan hilang kawalan, menyebabkan bas itu tergelincir sebelum terbalik dekat sebuah kampung di Km 229 Lebuhraya Utara Selatan (Plus) di Bukit Gantang, demikian menurut laporan Bernama.

Kemalangan tersebut dianggap yang paling buruk yang pernah berlaku di negara ini.

Jurucakap polis berkata, bas "Super" itu dalam perjalanan dari Johor Bahru ke Alor Star apabila kemalangan itu berlaku kira-kira jam 4.45 pagi tadi.

Mereka yang terbunuh adalah 13 penumpang lelaki dan tujuh penumpang wanita.

Terperangkap bawah bas

Penumpang yang cedera pula dirawat di Hospital Taiping, kira-kira 20km dari tempat kejadian.

Menurut laporan Bernama lagi, bas tersebut terjatuh ke dalam longkang sedalam lima meter selepas merempuh pembahagi jalan sepanjang 20 meter ketika bas itu sedang menuruni jalan berbukit.

Jurucakap itu berkata, kesan rempuhan tersebut menyebabkan beberapa penumpang terpelanting keluar manakala yang lainnya terperangkap di bawa bas, dengan bumbungnya tercabut.

Anggota bomba dan penyelamat memberi rawatan kecemasan kepada penumpang yang cedera selepas berjaya dibawa keluar dari bawah bas tersebut. Mereka kemudiannya dihantar ke hospital.

Sebuah kren digunakan untuk mengangkat bas tersebut untuk membolehkan pekerja penyelamat mengeluarkan mayat penumpang yang terkorban.

Senarai mangsa

Menurut Bernama, mereka yang terbunuh ialah pemandu bas Rohizan Abu Bakar, 38, dari Taman Seri Petaling, Kulim Kedah; rakyat Indonesia H. Abu Bakar yang berasal dari Medan; T. Krishnan, 46, dari Taman Haji Muslim, Kuala Ketil, Kedah; Fadliz Ahmad, 22, dari Jalan Penaga, Taman Maju, Jasin, Melaka; Josli Arshad, 22, dari Jalan Dang Merdu, Jembatan Duyong, Melaka; Nazri Noordin, 35, dari Desa Baiduri, Bandar Baru Ayer Itam, Pulau Pinang; Pang Tee Min, 58, dari Jalan Ong Kim Wee, Melaka; Mohd Yazid Md Yusoh, 23, dari Jalan Kolam Air Utama, Fasa 4, Taman Maju, Jasin, Melaka; Md Basri dari Kampung Pulai Darat, Merlimau, Melaka; dan Kamis Said, 62, dari Batu 22 1/2 Pasir Gembor, Tanjung Bidara, Masjid Tanah, Melaka. Kesemua mereka terbunuh di tempat kejadian.

Seorang lagi mangsa, Shahril Efendi, 22, dari Alor Star, mati di Hospital Taiping pada jam 5 petang ini. Selain kanak-kanak berusia tiga tahun ini, turut dirawat di ICU Hospital Taiping ialah pembantu pemandu bas itu, P. Veeraman, 36, dari Taman Sri Merbau, Sepang, Selangor.

Dua lelaki warga Vietnam yang cedera dan dirawat di Hospital Taiping ialah Quang Ngoi Hung dan Ngu Yeh Hui Vinh, 27. Turut dimasukkan ke Hospital Taiping ialah Mohd Fauzi Hassan, 27; Zurina Rashid, 23; Mohd Zahidi Che Ahmad, 22; dan Siew Ken Meng (lelaki), 21.

Seorang lelaki warga Nepal, Chatrapati Eyam, 24, adalah mangsa tunggal yang mengalami kecederaan ringan dan telah dibenarkan keluar selepas menerima rawatan pesakit luar.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS