Umno dicadang tubuh 'pemuda hulubalang'
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob menyaran penubuhan kumpulan 'pemuda hulubalang' yang bertanggungjawab khusus mempertahankan Umno daripada tohmahan negatif dan memperjelaskan dasar kerajaan di peringkat akar umbi.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob menyaran penubuhan kumpulan 'pemuda hulubalang' yang bertanggungjawab khusus mempertahankan Umno daripada tohmahan negatif dan memperjelaskan dasar kerajaan di peringkat akar umbi.
Beliau yang juga Ahli Majlis Tertinggi Umno berkata memang ada pemimpin Umno yang bersuara apabila timbul isu-isu negatif mengaitkan Umno dan perlembagaan negara tetapi jawapan mereka kadangkala tidak tepat atau kurang jelas kepada rakyat.
Oleh itu, sudah sampai masanya Umno menubuhkan kumpulan hulubalang di peringkat Pemuda Umno bahagian yang akan menjadi benteng terhadap tohmahan yang dilemparkan, katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat perwakilan Umno Bahagian Gopeng di Ipoh semalam, demikian menurut laporan Bernama.
"Banyak isu-isu berkaitan Umno dan perlembagaan negara tidak dijawab di peringkat akar umbi, misalnya mengenai bidang kuasa Mahkamah Syariah dan Sivil, Islam Hadhari dan terbaru isu pelajar kita di Taiwan mempersendakan lagu Negaraku serta laungan azan.
"Isu-isu ini amat sensitif. Sebab itu, amat penting bagi Umno mewujudkan kumpulan pengkritik yang berperanan sebagai hulubalang atau tentera yang akan bertanggungjawab menangkis tohmahan ini," jelasnya.
Program Agropolitan
Dalam perkembangan lain, Adnan berkata, kerajaan Pahang sedia memberi kerjasama penuh kepada kerajaan pusat untuk membangunkan Program Agropolitan atau kota pertanian di negeri itu.
"Kita bersedia memberi tanah dan segala bantuan lain jika diminta oleh Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah bagi membangunkan projek tersebut kerana menyedari ia boleh membantu mengatasi masalah rakyat miskin tegar," katanya.
Sementara itu, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Abdul Aziz Shamsuddin berkata program Agropolitan akan dibangunkan secara berperingkat-peringkat kerana kementerian menghadapi masalah untuk mendapatkan benih getah dan kelapa sawit.
Beliau berkata, sekurang-kurangnya 500 pokok getah diperlukan untuk membuka kawasan pertanian seluas 0.4 hektar dan benih getah dan kelapa sawit yang disediakan oleh Risda dan Golden Hope Plantation belum mencukupi untuk menampung permintaan.

