Bekas hakim Mahkamah Rayuan Hishamudin Md Yunus dilantik sebagai pengerusi Suhakam yang baru untuk tempoh tiga tahun berkuat kuasa 3 Julai.
Pelantikan Hishamudin diumumkan Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali dalam satu kenyataan hari ini.
"Sukacita dimaklumkan bahawa selaras dengan subseksyen 5(2) Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999 [Akta 597], Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah memperkenankan pelantikan Hishamudin sebagai Pengerusi Suhakam untuk tempoh 3 tahun.
"Pelantikan ini berkuat kuasa mulai 3 Julai 2024," kata Zuki.
Hishamudin, 74, menggantikan pengerusi Suhakam sebelum ini, Rahmat Mohamad yang secara sukarela meletak jawatan berkuat kuasa 31 Ogos. Jawatan itu tidak mempunyai penyandang selama 10 bulan.
Kekosongan itu menjadi tumpuan semasa perbahasan di Dewan Rakyat minggu lalu mengenai laporan tahunan Suhakam.
Hishamudin, yang memulakan kerjayanya dalam Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan Malaysia pada Ogos 1973 sebagai majistret di Kuala Lumpur, dan pernah menjadi Peguambela dan Peguam Cara pada 1984.
Dia menjadi Hakim Mahkamah Tinggi pada 1994 dan dinaikkan ke Mahkamah Rayuan pada 2009, seterusnya kekal sehingga bersara pada September 2015.
Dia dilantik sebagai ahli Suhakam pada 27 April 2019.
