Hanya segelintir bekas ahli dan pemimpin Puteri Umno yang berpeluang memegang jawatan apabila mereka diserapkan ke dalam pergerakan Wanita apabila melepasi usia 35 tahun, kata Naib Ketua Puteri Umno, Rosnah Abdul Rashid Shirlin.

Berikutan itu, katanya, ramai pemimpin Puteri yang 'tenggelam' apabila meninggalkan pergerakan itu dan diserapkan ke dalam pergerakan Wanita Umno di peringkat cawangan dan bahagian.

"Ini hakikat yang terpaksa diterima, mungkin nasib saya akan menjadi sedemikian rupa apabila saya meninggalkan Puteri tidak lama lagi," katanya ketika dihubungi malaysiakini.

Menurutnya, lima peratus atau kira-kira 15,000 ahli Puteri meninggalkan pergerakan itu setiap tahun dan diserapkan ke dalam sayap Wanita di peringkat cawangan dan bahagian apabila melepasi usia 35 tahun.

"Tidak ramai yang mendapat jawatan apabila berada dalam sayap Wanita, sebaliknya sekadar menjadi ahli biasa," katanya.

Pada masa ini, katanya, hanya ketua Wanita Batu Pahat sekarang , Haliza Abdullah yang merupakan bekas ketua Puteri bahagian itu" katanya ketika dihubungi malaysiakini hari ini.

Proses biasa

Rosnah yang juga Ahli Parlimen Papar berkata, ahli Puteri di seluruh negara berjumlah kira-kira 300,000 orang yang kebanyakannya berumur 21 hingga 35 tahun.

Ketika ini, pergerakan itu mempunyai dua Ahli Parlimen, dua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan seorang Senator iaitu Nordiana Shafie yang juga Ketua Puteri Umno Terengganu.

Rosnah berkata, ini merupakan proses biasa dalam mana-mana politik, apatah lagi dalam Umno yang mempunyai kira-kira tiga juta ahli.

Ketika ditanya sama ada pemimpin Puteri akan mencabar pemimpin Wanita sedia ada, Rosnah berkata, perlembagaan parti membenarkan pertandingan dalam parti.

Untuk itu, beliah berharap pemimpin Wanita boleh menerima kenyataan jika pemimpin Puteri mencabar mereka kelak.

"Saya lebih suka jika tidak berlaku sebarang pertandingan, tetapi kita tidak boleh menghalang jika mereka merasakan mereka layak untuk memegang sesuatu jawatan," katanya.

Jangan ghairah

Sementara itu, Nordiana ketika dihubungi malaysiakini berkata, bekas pemimpin Puteri yang menyertai Wanita perlu bersabar dan jangan asyik mengejar jawatan.

"Tidak elok apabila menyertai Wanita terus mahu mendapatkan jawatan utama kerana ia akan mencetuskan suasana dingin di kalangan ahli parti.

"Jika mendapat jawatan ahli jawatankuasa (AJK) Wanita bahagian itu sudah memadai kerana masanya akan tiba untuk mereka menjadi pemimpin Wanita bahagian," katanya.

Beliau berkata, bekas pemimpin Puteri tidak perlu terlalu ghairah memikir yang mereka sudah layak untuk mengambil tempat pemimpin Wanita.

Sebaliknya, kata beliau, biar pucuk pimpinan parti yang menentukan kedudukan mereka.