Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bercuti selama dua minggu bermula hari ini.

Setiausaha Akhbarnya, Tengku Sarifuddin Tengku Ahmad berkata dalam tempoh itu Najib dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor akan berada di luar negara.

"Datuk Seri Najib dan Datin Seri telah berlepas ke luar negara dari KLIA (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur) pada jam 10 pagi ini," katanya kepada Bernama.

Menurutnya, tarikh muktamad kepulangan Najib ke tanahair akan dimaklumkan kemudian.

Sementara itu, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan isteri, Datin Seri Jeanne Abdullah tiba di Brunei untuk menghadiri Perundingan Tahunan Ke-11 dengan Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah.

Perundingan yang diadakan secara timbal balas antara Malaysia dan Brunei itu bertujuan merapatkan hubungan kedua-dua negara berjiran itu dalam pelbagai bidang.

Dalam perundingan ke-10 di Kemaman, Terengganu pada Ogos tahun lalu, kedua-dua pemimpin mengeluarkan kenyataan 13 perkara yang menilai perkembangan hubungan dua hala Malaysia dan Brunei, antaranya dalam bidang perdagangan dan pelaburan, sains dan teknologi, pertanian, perkapalan, maklumat dan penyiaran, pendidikan, hal ehwal agama, pembangunan modal insan, pertahanan, keselamatan dan pelancongan.

Pak Lah lawat Brunei

Turut menyertai delegasi Perdana Menteri ialah Menteri Pengajian Tinggi Datuk Mustapa Mohamed, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad, Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud dan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman.

Setelah berehat seketika di hotel penginapannya, Perdana Menteri dan isteri serta Syed Hamid, Mustapa, Radzi, Abdul Taib dan Musa kemudian akan bertolak ke Istana Nurul Iman untuk menghadap Sultan Hassanal Bolkiah petang ini.

Abdullah kemudian dijadualkan mengadakan pertemuan empat mata dengan Sultan Brunei.

Perdana Menteri dan isteri serta rombongan kemudian dijadualkan menghadiri jamuan teh di kediaman Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Brunei sebelum menghadiri santapan malam bersama Sultan Brunei.

Esok Perdana Menteri akan bersarapan pagi bersama Sultan Hassanal Bolkiah di Taman Rekreasi Tasek Lama manakala Jeanne pula dengan diiringi oleh Datin Seri Sharifah Aziah Syed Zainal Abidin, isteri Menteri Luar dan Datin Zakiah Alias, isteri Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Brunei untuk melawat Kampung Ayer dan Muzium Diraja Brunei.

Sebelum pulang ke tanahair, Perdana Menteri dan isteri dijadualkan bertemu dengan rakyat Malaysia di Brunei dalam satu jamuan tengah hari.