NST hentikan kolum Amir Muhamad, Zainah Anwar
Pusat Kewartawan Independen (CIJ) memandang berat tindakan akhbar prokerajaan New Straits Times (NST) menghentikan kolum dua penulis yang berpandangan kritikal - Amir Muhammad dan Zainah Anwar.
Pusat Kewartawan Independen (CIJ) memandang berat tindakan akhbar prokerajaan New Straits Times (NST) menghentikan kolum dua penulis yang berpandangan kritikal - Amir Muhammad dan Zainah Anwar.
Kolum Amir (foto) diterbitkan pada hari Khamis manakala kolum Zainah pada hari Jumaat. Kolum terakhir Amir diterbitkan pada 27 Julai manakala kolum terakhir Zainah pada 2 Ogos lalu.
Pengarah Eksekutif CIJ, Gayathry Venkiteswaran berkata, tindakan tersebut menimbulkan rasa curiga bahawa kerajaan berhasrat untuk meningkatkan kongkongannya terhadap perbincangan awam di media perdana di tengah-tengah jangkaan pilihanraya umum akan diadakan lebih awal.
Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata, tindakan menghentikan kolum-kolum tersebut telah mengecilkan keseimbangan pandangan dalam media Malaysia.
Amir dan Zainah(foto) masing-masing mengesahkan NST membatalkan kolumnya pada 6 Ogos dalam
blognya
, manakala Timbalan Pengarang Kumpulan NST, Kamarul Idris Zulkifli memberitahu CIJ bahawa akhbar tersebut telah memutuskan untuk tidak meneruskan kolum Zainah.
Menurut kenyataan CIJ itu, Kamarul bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenainya, tetapi Zainah berkata NST memberi alasan akhbar itu kekurangan ruang untuk kolumnis yang bukan kakitangannya.
Pengarah filem
Amir adalah pengarah dua filem - Lelaki Komunis Terakhir dan sambungannya Apa Khabar Orang Kampung , yang diharamkan kerana menginterpretasi semula sejarah perjuangan komunis semasa zaman darurat. Kolumnya sebelum ini, yang mula disiarkan dalam NST 1987 juga dihentikan pada 1999 menjelang pilihanraya umum.
Zainah pula adalah Pengarah Eksekutif Sisters in Islam (SIS), yang menjadi anggota gabungan Artikel 11 yang dikecam hebat oleh ahli-ahli Umno serta parti pembangkang PAS kerana memperjuangkan hak perlembagaan mengenai kebebasan agama.
Menurut Gayathry lagi, langkah menghentikan kolum mereka di media perdana merupakan satu lagi petanda yang membimbangkan bahawa kebebasan bersuara dan maklumat sedang dikongkong pada masa Malaysia memerlukan lebih banyak perbincangan dan maklumat menjelang pilihanraya umum yang akan datang.
CIJ, katanya, menggesa NST supaya menyambung semula kolum dua penulis popular itu bagi mempertahankan objektiviti dan keseimbangan dalam bidang kewartanan.
CIJ adalah sebuah pertubuhan media yang memperjuangkam matlamat memperbaiki amalan dan kebebasan kewartawan semasa Malaysia melalui penyelidikan, analisis, latihan dan kerja amali.
Ditubuhkan pada 2001, CIJ telah melaksanakan pelbagai projek untuk membangunkan kamhiran komunikasi di peringkat akar umbi melalui latihan, sokongan infrastruktur dan tindakan secara langsung.

