Perginya seorang pejuang rakyat...
Seorang pemimpin pembangkang, Abdul Razak Ahmad meninggal dunia di Hospital Sultanah Aminah di Johor semalam selepas dimasukkan ke hospital tersebut kerana sakit belakang dan dada. Allahyarham berusia 68 tahun.
Seorang pemimpin pembangkang, Abdul Razak Ahmad meninggal dunia di Hospital Sultanah Aminah di Johor semalam selepas dimasukkan ke hospital tersebut kerana sakit belakang dan dada. Allahyarham berusia 68 tahun.
Abdul Razak menghembuskan nafas terakhirnya pada jam 1.20 tengahari dan jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Mahmoodiyah selepas solat Asar semalam.
Allahyarham meninggalkan seorang balu, Kintan Mohd Amin dan empat anak - dua perempuan serta dua lelaki.
Dilahir pada 6 Jun 1939, Abdul Razak terkenal sebagai seorang peguam serta tokoh politik di Johor.
Beliau baru dilantik sebagai pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor. Sebelum pencantuman antara Parti Keadilan Nasional (PKN) dengan Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan penubuhan PKR, Allahyarham pernah menjadi timbalan presiden PRM.
Razak yang pernah ditahan di bawah ISA pada 1975, mengejutkan masyarakat antarabangsa apabila berbaring di landasan keretapi dari Johor ke Singapura, sebagai membantah kunjungan Presiden Zionis Israel, Herzog, ke Singapura pada 1986.
Diharam masuk S'pura
Ketika mengikuti pengajian undang-undang di Universiti Malaya, Singapura, Allahyarham menjadi presiden Kelab Sosialis Singapura. Presiden Singapura Lee Kuan Yew telah menghalau Razak pada 1966 kerana dituduh menghasut rusuhan pelajar di universiti tersebut.
Allahyarham diharamkan masuk ke Singapura hingga sekarang.
Abdul Razak pernah memegang jawatan timbalan pengarah Jabatan Tanah dan Galaian Johor. Allahyarham juga pernah menjadi penasihat undang-undang Felda dan malah pernah ditawarkan jawatan setiausaha politik Tun Musa Hitam ketika itu, tetapi dia menolaknya.
Beliau banyak membela rakyat susah serta terpinggir dari semua kaum serta sering memberi khidmat guamannya tanpa meminta sebarang bayaran.
Beliau juga merupakan pemimpin parti luar kerajaan yang banyak mendedahkan, terutama sekali pada akhir-akhir abad ke-20, tentang penyelewengan dan korupsi di kalangan pemimpin kerajaan Umno-BN di Johor.

