Gaza di ambang kehilangan seluruh generasi kanak-kanak, kata UNRWA
Agensi Bantuan dan Kerja PBB untuk Pelarian Palestin (UNRWA) memberi amaran Semenanjung Gaza di ambang kehilangan seluruh generasi kanak-kanak akibat serangan berterusan Israel sejak 7 Okt 2023.
Agensi Berita dan Maklumat Palestin (WAFA) melaporkan Pengarah Komunikasi UNRWA Juliette Touma berkata dalam satu hantaran di X bahawa lebih 600,000 kanak-kanak di Gaza tidak dapat bersekolah sejak perang Israel bermula pada Oktober lalu.
Beliau merujuk kepada penutupan sebilangan besar sekolah dan sekolah-sekolah UNRWA menjadi tempat perlindungan bagi mereka yang hilang tempat tinggal.
"Ini bermakna jika perang ini berterusan, kita akan menghadapi risiko kehilangan seluruh generasi kanak-kanak,"katanya.
Pengarah Komunikasi agensi bantuan itu menggesa gencatan senjata demi kanak-kanak di Gaza.
-Bernama
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/12/ca69a950825c92482302407e746dcdc0.jpg)
