Saya mohon maaf, kata penyanyi Negarakuku
Selepas dua minggu dikecam hebat kerana dituduh menghina lagu Negaraku, Wee Meng Chee memohon maaf secara terbuka kepada mereka yang tersinggung dengan tindakannya itu.
Selepas dua minggu dikecam hebat kerana dituduh menghina lagu Negaraku, Wee Meng Chee memohon maaf secara terbuka kepada mereka yang tersinggung dengan tindakannya itu.
Musik video bertajuk 'Negarakuku' yang ditonton oleh lebih sejuta orang melalui YouTube, yang didakwa oleh Umno telah menghina orang Melayu dan agama Islam.
"Berikutan kontroversi ini, saya ingin memberi penjelasan dan secara terbuka memohon maaf kepada semua rakyat Malaysia yang tersinggung dengan tindakan saya itu," katanya dalam kenyataan melalui emel dalam bahasa Malaysia dan Cina.
"Saya juga ingin menggesa semua pihak supaya menghentikan komen berbaur perkauman (di internet) berhubung isu tersebut," tambah pelajar komunikasi, yang popular dengan nama Namewee di internet.
Banyak lamanweb dan pertubuhan media Melayu mengecam Wee yang kini mengikuti pengajiannya di Taiwan. Malah, sesetengah lamanweb menyiarkan posting dari individu-individu yang mengancam untuk membunuhnya dan keluarganya.
'Ikrar taat setia'
Wee menafikan sekeras-kerasnya laporan media tertentu yang mendakwa dia mengubah lagu tersebut dengan niat untuk memalukan Malaysia dan menghina Islam.
Katanya, sebagai rakyat Malaysia, dia memahami sensitiviti setiap kumpulan etnik dan agama di negara ini.
Oleh itu, katanya, dia tidak berniat langsung untuk menghina negara atau mana-mana agama.
Menurut Wee lagi, dia juga tidak mempunyai sebarang motif untuk mengapi-apikan sentimen anti-kerajaan dan rasa perkauman melalui liriknya.
Seperti rakyat Malaysia yang lain, kata Wee, dia berikrar taat setia kepada Raja dan negara, serta berpeluang untuk mendapat pendidikan dan kebebasan untuk mengasah bakat muziknya.
Katanya, dia sentiasa bangga menjadi rakyat Malaysia dan taat setianya kepada negara tidak pernah luntur walaupun dia k
ini belajar di Taiwan.
Menurut Wee lagi, adalah menjadi harapannya untuk pulang berkhidmat untuk negaranya selepas tamat pengajiannya nanti," kata Wee yang berasal dari Muar, Johor.
Wee berkata, beliau telah mendapat pelajaran 'yang amat berharga' dari kontroversi tersebut mengenai semangat kebangsaan dan hubungan antara kaum, dan menggesa pengguna internet yang lain supaya berhenti mengedar videonya itu.
Wee telah membuang video tersebut dari lamanwebnya dan dari akaun YouTube pada 23 Julai sebaik sahaja tercetus kontroversi mengenainya.
MCA: Kami terima
Dalam satu lagi perkembangan, Naib Presiden MCA, Datuk Chua Soi Lek berkata, beliau dan partinya menerima pemohonan maaf Wee dan berharap pihak lain juga akan dapat berbuat demikian.
Bercakap dalam satu sidang akhbar di Putrajaya, Chua, yang juga Menteri Kesihatan berkata beliau telah berbual selama 30 minit dengan Wee pagi tadi.
Katanya, beliau mendapati Wee tidak mempunyai niat tersembunyi untuk mempermain-mainkan lagu Negaraku atau mana-mana agama, terutama agama Islam," katanya.
Selepas mendengar versi Negaraku itu, Chua berkata, beliau mendapati lagu itu tidak mempunyai mesej bahawa kerajaan bersikap tidak adil pada kaum Cina.
"Saya percaya Wee mempunyai kebebasan untuk bersuara. MCA tidak boleh mengarah sesiapapun untuk menulis lagu-lagu yang memuji kerajaan.
Ketika dihubungi kemudiannya, seorang pegawai Chua berkata MCA Muar telah bercakap dengan bapa Wee - Ann Chee, yang bersetuju mendapatkan bantuan parti itu untuk menyelesaikan masalah tersebut.
Ann Chee, yang turut menghadiri sidang akhbar Chua, sebelum ini telah memberitahu beberapa akhbar bahawa keluarganya telah menerima tekanan dan ancaman dari pihak-pihak tertentu ekoran kandungan video tersebut.

