Puteri Umno kurang diberi perhatian?
Puteri Umno boleh diibaratkan sebagai lilin yang membakar diri sendiri untuk menerangi orang lain dengan bermati-matian untuk memastikan kemenangan calon Umno khususnya, dan calon Barisan Nasional (BN) amnya, dalam setiap pilihanraya walaupun mereka sendiri kurang diberi perhatian.
Puteri Umno boleh diibaratkan sebagai lilin yang membakar diri sendiri untuk menerangi orang lain dengan bermati-matian untuk memastikan kemenangan calon Umno khususnya, dan calon Barisan Nasional (BN) amnya, dalam setiap pilihanraya walaupun mereka sendiri kurang diberi perhatian.
Dengan keahlian kira-kira 300,000 orang beberapa pemimpin bahagian Puteri Umno berharap pergerakan itu dihargai dengan memberi peluang yang lebih banyak kepada mereka memegang jawatan dalam parti atau bertanding dalam pilihanraya.
Ketua Puteri Umno bahagian Alor Gajah, Raziah Abdul Rahman berkata, salah satu cara bagi menzahirkan penghargaan ialah memilih mereka bertanding dalam pilihanraya umum akan datang.
"Mana-mana pemimpin Puteri yang layak perlu dipilih sebagaimana amalan yang dibuat dalam pergerakan Pemuda Umno, bukan sahaja menjadi menjadi ahli Parlimen, malah menteri kabinet.
"Saya rasa pada peringkat awal dan sebagai untuk pendedahan, eloklah mereka bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dahulu," katanya.
Raziah berkata, ia sebagai menghargai kesungguhan Puteri bekerja untuk Umno dalam setiap kali pilihanraya.
'Ibarat lilin'
Manakala Ketua Puteri Umno Kampar Rahayu Mohd Rashid berkata, sudah sampai masanya beberapa pemimpin pergerakan itu yang mempunyai kualiti kepimpinan yang besar diberi pelunag bertanding dalam pilihanraya umum.
"Kami bekerja sama kuat dengan sayap Umno lain tetapi pergerakan itu yang mendapat lebih banyak keistimewaan walaupun usia antara kami tidak jauh bezanya.
"Kami seperti membakar lilin untuk menerangi orang lain," katanya.
Sementara itu, Ketua Puteri Umno Seputeh, Azliza Ahmad ketika dihubungi berkata, lebih elok jika parti meletakkan beberapa lagi calon Puteri dalam pilihanraya umum kali ini.
Ketika ini, pergerakan itu mempunyai dua Ahli Parlimen, dua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan seorang Senator iaitu Nordiana Shafie yang juga Ketua Puteri Umno Terengganu.
Katanya, semakin ramai pemimpin Puteri yang berwibawa dan layak diketengahkan untuk menjadi pemimpin sama ada di peringkar DUN ataupun Parlimen.
"Tentu rugi jika pemimpin yang berwibawa itu tidak diberi peranan yang sepatutnya kerana mereka telah membuktikan kesetiaan dan bekerja kuat kepada parti dan Barisan Nasional," katanya.

