Sepasang suami isteri direman selama enam hari bagi membantu siasatan berhubung kes salah guna kuasa untuk mendapatkan projek pembekalan bernilai lebih RM200,000.

Perintah tahanan reman itu terhadap pasangan berumur 30-an itu dikeluarkan majistret Noor Mazrinie Mahmood bagi membolehkan siasatan dilakukan di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Reman berkenaan bermula hari ini hingga Ahad depan.

Menurut sumber, suspek lelaki yang merupakan kakitangan di sebuah agensi perbadanan awam di Terengganu dipercayai menggunakan jawatannya dengan mencadangkan sebut harga milik syarikat isterinya bagi membolehkan syarikat itu mendapat kerja-kerja pembekalan di tempat kerjanya yang bernilai kira-kira RM200,000.

Susulan itu, lelaki berkenaan ditahan di pejabatnya kira-kira jam 12 tengah hari semalam, manakala si isteri ditahan satu jam kemudian di kediaman mereka.

Siasatan awal mendapati pasangan terbabit melakukan perbuatan tersebut sekitar 2022 hingga 2023 melibatkan beberapa kerja pembekalan yang berbeza.

- Bernama