Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bunuh anak tiri: Mahkamah Persekutuan kekalkan hukuman mati
Diterbitkan:  Jul 16, 2024 4:46 PM
Dikemaskini: 8:46 AM

Mahkamah Persekutuan - yang bersidang di Johor Bahru hari ini - mengekalkan hukuman gantung sampai mati terhadap seorang bapa yang membunuh anak tiri lelakinya yang berusia enam tahun pada 13 tahun lepas.

Panel tiga hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat memutuskan keputusan sebulat suara itu selepas menolak permohonan semakan Azman Abd Rahman, 49, untuk menggantikan hukuman mati kepada penjara seumur hidup mengikut Akta Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan) 2023.

Tengku Maimun menerima bantahan pihak pendakwaan terhadap permohonan semakan Azman untuk mengetepikan hukuman mati terhadapnya.

"Permohonan pemohon (Azman) ditolak dan hukuman sedia ada dikekalkan," kata Tengku Maimun yang bersidang bersama dua lagi hakim Mahkamah Persekutuan, Nordin Hassan dan Hanipah Farikullah.

Terdahulu, Ketua Bahagian Perbicaraan dan Rayuan, Jabatan Peguam Negara Mohd Dusuki Mokhtar membantah permohonan semakan Azman yang diwakili peguam, S Vijay Ratnam, dan meminta mahkamah mengekalkan hukuman mati.

"Bedah siasat menemui lebih 72 kesan kecederaan pada jasad mangsa terutama pada bahagian otot, paru-paru, kepala dan perut berpunca daripada hentakan kuat menggunakan benda tumpul.

"Menurut saksi yang merupakan pekerja pemohon, dia cuba menghalang perbuatan Azman memukul mangsa yang hanya berusia enam tahun itu tetapi dimarahi dan diingatkan supaya tidak masuk campur dalam urusan keluarga," kata Mohd Dusuki.

Sementara itu, Vijay Ratnam memohon mahkamah membenarkan semakan atas alasan anak guamnya kesal dengan perbuatan tersebut dan kini menghidap beberapa penyakit iaitu kecelaruan personaliti antisosial, tekanan darah tinggi dan kronik hepatitis C.

Azman dihukum mati oleh Mahkamah Tinggi Melaka pada 5 Jun 2015 selepas dia didapati bersalah terhadap pertuduhan membunuh Muhammad Firdaus Mohd Dan.

Kejadian itu berlaku di sebuah kebun kelapa sawit di Kampung Solok Pinang Gadek, Alor Gajah, Melaka antara jam 10.30 pagi hingga 2.15 petang pada 10 Okt 2011.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Rayuan pekerja memproses kayu getah itu ditolak Mahkamah Rayuan Putrajaya pada 7 Sept 2016, sebelum Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman pada 5 Okt 2017.

Berdasarkan fakta kes, pada hari kejadian Azman dalam perjalanan ke tempat kerja apabila anak tirinya memaklumkan mahu membuang air kecil atau air besar. agaimanapun mangsa ditampar di pipi dengan kuat.

Apabila mereka tiba di satu kawasan, Azman memarahi mangsa dan menendang rusuk kanak-kanak itu menggunakan kasut but selain memukul mangsa berkali-kali menggunakan dahan kayu dan rotan sehingga budak terbabit jatuh tersungkur.

Sewaktu dalam perjalanan pulang, mangsa dilihat membuang air besar dalam keadaan tidak sedarkan diri dengan darah mengalir keluar dari telinganya.

Azman kemudian membawa kanak-kanak terbabit ke Hospital Alor Gajah dan doktor mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.

Persidangan Mahkamah Persekutuan di Johor Bahru itu berlangsung selama tiga hari bermula semalam.

Ia melibatkan keseluruhan 98 kes bagi pesalah terdiri daripada rakyat tempatan dan warga asing termasuk Indonesia, Nigeria, Iran, India, Togo, Guinea, Pakistan dan Singapura yang ditahan di Penjara Kluang dan Penjara Simpang Renggam.

Sebanyak 36 kes melibatkan permohonan semakan hukuman mati dan permohonan semakan hukuman pemenjaraan sepanjang hayat.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS