Naib Ketua Pemuda Umno Terengganu, Che Khazan Che Mat tidak bersetuju dengan cadangan supaya pemilihan barisan kepimpinan parti itu dibuat berdasarkan meritokrasi.

Sebaliknya, beliau menganggap sistem sedia ada merupakan yang terbaik kerana ia memberi peluang kepada ahli untuk memilih pemimpin parti.

Che Khazan berkata, sukar untuk menilai kualiti pemimpin Umno dengan menggunakan kaedah meritokrasi kerana pemimpin politik tidak sama dengan penjawat awam.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Rakit berkata, ukuran kejayaan bagi pemimpin politik biasanya dibuat apabila mereka menunaikan tanggungjawab dan kepimpinan mereka diterima ramai.

"Kita kena tengok keberkesanan seorang pemimpin dalam parti, baru boleh menilai kejayaan atau kegagalannya tetapi cara ini tidak ada dalam penjawat awam," katanya.

Che Khazan yang juga Ketua Pemuda Umno bahagian Kuala Nerus bekata demikian ketika diminta mengulas cadangan Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Datuk Mohamad Norza Zakaria (foto) supaya pemilihan pucuk pimpinan parti dibuat berdasarkan meritokrasi.

Norza dilaporkan berkata, Umno dan kerajaan perlu mengamalkan meritrokrasi merangkumi kelulusan akademik bermula dari bawah hingga ke peringkat tinggi bagi memastikan keberkesanan proses untuk meremajakan Umno.

Peluang tonjol diri

Sementara itu, Ketua Pemuda Umno Kuala Krai, Kelantan, Zulkifli Omar berkata, Umno perlu melaksanakan proses pemilihan pemimpin secara terbuka kerana ia memberi peluang kepada sesiapa sahaja menonjolkan diri.

"Umno itu parti rakyat Melayu dan ini bermakna merekalah yang menentukan kepimpinan parti. Pemilihan terbuka seperti yang diamalkan sekarang ini membolehkan semua ahli mengambil bahagian," katanya.

Zulkifli yang juga Adun Manik Urai berkata, beliau bimbang jika pemilihan pemimpin dibuat melalui meritokrasi, akan berlaku di mana pemimpin yang mempunyai hubungan rapat dengan pihak tertentu, akan terpilih.

Katanya, jika pemimpin yang mempunyai kepentingan peribadi mendapat tempat dalam Umno, maka parti akan menjadi rosak.

"Tidak semestinya jika pemilihan dibuat melalui meritokrasi, parti akan mendapat pemimpin yang tulen.

"Cara yang diamalkan sekarang juga telah membolehkan proses peremajaan semula parti berjalan lancar tanpa sebarang bantahan dari ahli," katanya.

Zulkifli berkata, apa yang penting ialah ahli sendiri yang menentukan kepimpinan Umno sebagaimana yang diamalkan sejak ditubuhkan 50 tahun lalu.

Mengenai peremajaan parti, beliau berkata, ia perlu berlaku setiap masa kerana jika seseorang itu memimpin terlalu lama, ia boleh merosakkan parti.

Katanya, ini kerana pemimpin pelapis hanya mengikut acuan yang telah dibuat oleh pemimpin lama.