Parlimen Titiwangsa: Norza ganti Astaman?
Menyuarat Umno bahagian Titiwangsa di ibu negara baru-baru ini secara terbuka mendesak supaya Ahli Parlimen sekarang, Datuk Astaman Aziz digantikan oleh pemimpin tempatan.
Menyuarat Umno bahagian Titiwangsa di ibu negara baru-baru ini secara terbuka mendesak supaya Ahli Parlimen sekarang, Datuk Astaman Aziz digantikan oleh pemimpin tempatan.
Mereka mahu pemimpin tempatan mewakili pengundi Titiwangsa dalam pilihanraya umum akan datang.
Mereka membuat permintaan tersebut sebaik sahaja Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak selesai berucap menutup mesyuarat tersebut yang diadakan di sebuah hotel di Kuala Lumpur.
"Umno bahagian Titiwangsa meminta supaya kerusi Parlimen bahagian ini dikembalikan kepada orang tempatan," kata pengerusi mesyuarat hari itu.
Astaman yang turut hadir hanya tersenyum dan mendiamkan diri dalam mesyuarat yang dihadiri oleh kira-kira 200 perwakilan itu.
Beliau merupakan Ketua Umno bahagian Wangsa Maju yang digantung selama dua setengah tahun kerana didapati bersalah oleh Lembaga Disiplin Umno kerana terbabit dengan politik wang dalam pemilihan parti sebelum ini.
Sebelum ini kawasan Parlimen tersebut diwakili oleh bekas Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Drs Sulaimen Mohamad selama tiga penggal.
Antara anak tempatan yang disebut-sebut menjadi pilihan pemimpin Umno Titiwangsa ialah Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno yang juga Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan, Datuk Mohamad Norza Zakaria (foto).
Serah pada pemimpin
Tokoh muda itu, dalam temubual dengan malaysiakini baru-baru ini berkata, beliau sedia dicalonkan untuk bertanding di mana-mana kerusi dalam pilihanraya umum akan datang.
Astaman (foto) yang ditemui selepas mesyuarat tersebut berkata, beliau menyerahkan kepada pucuk pimpinan parti untuk menentukan kedudukannya di Parlimen tersebut.
"Sebagai ahli parti, saya menerima sebarang keputusan yang dibuat oleh pucuk pimpinan termasuklah pemilihan saya dalam pilihanraya umum akan datang.
"Jika khidmat saya masih diperlukan saya akan terus bertanding, dan jika diganti dengan orang lain, saya tidak menjadi masalah," katanya.
Ketika ditanya mengapa pemimpin-pemimpin Umno Titiwangsa tidak menggemarinya, Astaman berkata, gayanya berlainan dengan mereka.
Astaman berkata, fokus utama beliau ialah mengutamakan pendidikan di kalangan pelajar di kawasan Titiwangsa khususnya kepada keluarga miskin yang sebahagian besarnya orang Melayu.
"Keutamaan saya ialah untuk memberi pendidikan supaya anak-anak itu boleh memajukan keluarga dan bangsa mereka," katanya.

