Naib pengerusi Pemuda MCA Padang Serai mati ditembak
Naib Pengerusi Pemuda MCA Bahagian Padang Serai, Chin Eng Wah, 40, mati ditembak dalam keretanya semasa dalam perjalanan pulang ke rumahnya pagi ini.
Naib Pengerusi Pemuda MCA Bahagian Padang Serai, Chin Eng Wah, 40, mati ditembak dalam keretanya semasa dalam perjalanan pulang ke rumahnya pagi ini.
Sebelum itu Chin, seorang peniaga bahan binaan, bersarapan bersama isterinya di sebuah restoran di pekan Padang Serai.
Mangsa yang tinggal di Taman Melati, Padang Serai, ditembak semasa berhenti di satu persimpangan lampu isyarat di pekan itu pada 9 pagi ini, demikian menurut laporan Bernama.
"Mangsa ditembak dari jarak dekat oleh lelaki yang menunggang sebuah motosikal," kata seorang jurucakap polis.
Menurutnya, Chin terkena satu das tembakan di bahagian kanan kepala. Dia dikejarkan ke sebuah hospital swasta di Sungai Petani dan meninggal dalam perjalanan.
Isterinya Low Mui Keow, 37, turut berada di dalam kereta berkenaan semasa kejadian.
"Sebelum kejadian itu mereka pergi ke pasar di pekan Padang Serai dan kemudian bersarapan di sebuah restoran," kata jurucakap tersebut.
Motif pembunuhan
Chin dihantar ke Hospital Pakar Metro di Sungai Petani oleh seorang rakannya yang kebetulan berada di situ.
Polis belum dapat memastikan sama ada terdapat lebih daripada seorang lelaki yang terlibat dalam kejadian itu.
"Pada peringkat ini, polis percaya motif pembunuhan adalah kerana dendam," katanya.
Mayat Chin telah dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani, untuk dibedah siasat.
Seorang lelaki yang menyaksikan kejadian tembakan itu berkata semasa kereta Chin berhenti di persimpangan lampu isyarat berkenaan, sebuah motosikal dinaiki dua lelaki telah berhenti di sebelahnya.
Saksi itu, yang enggan namanya disiarkan, berkata beliau sedang minum di sebuah restoran yang terletak berdekatan lampu isyarat berkenaan.
"Apabila lampu isyarat bertukar ke hijau, pembonceng motosikal itu terus melepaskan tembakan dan memecut laju ke arah Baling," katanya.

