Pemuda Umno minta jangan perbesar isu Negarakuku
Pemuda Umno tidak mahu isu penyanyi "Negarakuku' Wee Meng Che, 24, yang didakwa telah menghina lagu kebangsaan dan agama Islam diperbesarkan kerana ia merupakan isu sensitif.
Pemuda Umno tidak mahu isu penyanyi "Negarakuku' Wee Meng Che, 24, yang didakwa telah menghina lagu kebangsaan dan agama Islam diperbesarkan kerana ia merupakan isu sensitif.
Naib Ketua pergerakan itu, Khairy Jamaluddin berkata, ini kerana ia boleh menimbulkan masalah apabila ada pihaknya yang menjadi emosional dengan perkara tersebut.
Bagaimanapun, beliau yang juga menantu Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, Wee perlu melalui proses undang-undang supaya orang lain tidak mengulanginya.
"Proses undang-undang perlu diteruskan ke atas pemuda tersebut supaya tiada lagi yang berani mengulangi perbuatan sama," katanya di ibu negara hari ini.
Muzik video bertajuk 'Negarakuku' yang ditonton oleh lebih sejuta orang melalui YouTube, yang didakwa oleh Umno telah menghina lagu kebangsaan, Negaraku, dan agama Islam.
Rabu lalu, Wee yang popular dengan nama Namewee di internet, telah memohon maaf secara terbuka kepada semua rakyat Malaysia yang tersinggung dengan tindakannya itu.
Proses undang-undang
Wee yang berasal dari Johor itu kini sedang mengikuti pengajian komunikasi di sebuah universiti di Taiwan.
Semalam, Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Datuk Seri Dr Rais Yatim mahu siasatan diteruskan terhadap Wee walaupun dia telah memohon maaf kepada kerajaan dan rakyat Malaysia.
Rais mahu kes it uterus disiasat bagi mengelak perkara yang sama berulang pada masa depan.
"Negara ini mempunyai undang-undang dan peraturan, dan kita harus akur dengan prosesnya," katanya.
Menurut Rais lagi, perkara tersebut telah diserahkan kepada Peguam Negara untuk menentukan perbuatan Wee itu menyalahi mana-mana peruntukan dalam Akta Lagu Kebangsaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi juga dilaporkan berkata, Wee tidak akan terlepas daripada tindakan undang-undang walaupun beliau telah memohon maaf.
Katanya, ini kerana kabinet melihat perkara itu sebagai isu yang penting.

