Khidmat Musa Hassan disambung dua tahun lagi
Perkhidmatan Tan Sri Musa Hassan sebagai Ketua Polis Negara disambung selama dua tahun sehingga 13 September 2009.
Perkhidmatan Tan Sri Musa Hassan sebagai Ketua Polis Negara disambung selama dua tahun sehingga 13 September 2009.
Pelantikan secara kontrak itu berkuatkuasa pada 14 September ini, sehari selepas Musa bersara wajib daripada perkhidmatan yang disertainya hampir 38 tahun lalu.
Beliau dilantik sebagai Ketua Polis Negara pada 12 September 2006 bagi menggantikan Tan Sri Mohd Bakri Omar yang bersara.
Dalam satu kenyataan, Ketua Setiausaha Kementerian Keselamatan Dalam Negeri, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, penyambungan perkhidmatan Musa diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong berdasarkan nasihat Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hasil perakuan Suruhanjaya Pasukan Polis.
Menurut Bernama, Musa, yang berkelulusan undang-undang dari United Kingdom, memulakan perkhidmatannya sebagai inspektor pada 11 November 1969.
Sejak itu, beliau telah memegang beberapa jawatan penting dalam PDRM, antaranya sebagai Pegawai Pendakwa/Jenayah Melaka pada 1973, Penolong Pengarah Bahagian Narkotik, Bukit Aman pada 1981 dan Pensyarah Maktab Polis Kuala Kubu Baharu pada 1986.
Musa pernah menyandang jawatan Timbalan Penolong Pengarah Pendakwaan/Undang-undang Jenayah, Bukit Aman pada 1995 dan Ketua Polis Johor pada 2003.
Pada 1999, beliau mengetuai pasukan yang menyiasat kes liwat melibatkan bekas timbalan perdana menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pada 2004, beliau dilantik sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah sebelum dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Negara setahun kemudian dan sebagai Ketua Polis Negara tahun berikutnya.

