Chegubard direman, polis siasat bagaimana dokumen sulit diperoleh
Mahkamah Majistret Putrajaya pagi ini membenarkan perintah reman selama dua hari terhadap aktivis politik Badrul Hisham Shaharin yang disiasat berhubung pendedahannya mengenai dakwaan rasuah membabitkan seorang pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Peguamnya, Muhammad Rafique Rashid Ali berkata ahli jawatankuasa penerangan Bersatu itu disiasat mengikut Seksyen 203A Kanun Keseksaan, Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi 1972 (OSA), dan Seksyen 233 Komunikasi an Akta Multimedia 1998.
“Polis meminta perintah reman empat hari tetapi mahkamah hanya memberikan dua hari.
"Jadi Badrul akan ditahan reman sehingga esok, dan dia akan dibebaskan jika tiada permohonan reman lanjutan,” katanya kepada Malaysiakini.
Rafique berkata polis menahan aktivis itu sejurus selepas dia membuat laporan di ibu pejabat polis daerah (IPD) Putrajaya berhubung dakwaan rasuah itu semalam.
Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpurm Rusdi Mohd Isa berkata polis sedang menyiasat bagaimana Badrul memperoleh dokumen itu.
“Dia telah direman selama dua hari, jadi kita akan lihat sama ada kita boleh menyelesaikan siasatan kita dalam tempoh itu.
“Jika perlu, kita akan memohon lanjutan reman,” katanya dipetik akhbar New Straits Times.
Pada 22 Julai lalu, Badrul menyiarkan dokumen sulit di Facebook yang didakwa diterimanya pada 15 Julai lalu.
Dokumen itu yang didakwa ditandatangani oleh Panglima TLDM Abdul Rahman Ayob dialamatkan kepada Menteri Pertahanan, Mohamed Khaled Nordin, panglima Angkatan Tentera Malaysia dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Ia didakwa mengandungi aduan mengenai calon "pilihan pihak tertentu" untuk menggantikan Rahman yang akan bersara tidak lama lagi.
Badrul mendakwa dokumen itu menunjukkan bagaimana individu itu terlibat dalam beberapa kes rasuah, termasuk perjanjian pemerolehan bernilai RM45 juta.
Pada 24 Julai lalu, Badrul mendakwa dia menerima ugutan berhubung pendedahannya.
Pemimpin Bersatu itu kemudian berkata dia telah menyerahkan semua dokumen berkaitan kepada pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Mas Ermieyati Samsudin.
Pada 26 Julai, dia berkata sekumpulan anggota polis mengunjungi kediamannya untuk meminta dia hadir di IPD Putrajaya.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2024/07/c9a22e4fd63af753a5a44625e7675b10.jpg)
