MCA minta GLC beri kontrak kepada usahawan Cina
Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) perlu turut memberi kontrak kepada usahawan Cina kerana mereka juga turut membantu kaum lain, Presiden MCA, Datuk Seri Ong Ka Ting.
Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) perlu turut memberi kontrak kepada usahawan Cina kerana mereka juga turut membantu kaum lain, Presiden MCA, Datuk Seri Ong Ka Ting.
Beliau juga menggesa kerajaan memberi kontrak secara tender terbuka supaya orang Cina juga berpeluang memperolehinya.
"Tidak kiralah mana-mana kaum, kerana yang perlu dibantu, kita kena bantu. Orang kata orang Cina kaya, tetapi ramai lagi yang perlu dibantu.
"Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) perlu memberi kontrak kepada usahawan Cina kerana mereka turut membantu kaum lain," katanya ketika berucap di majlis perasmian Perhimpunan Agung Tahunan MCA di ibu negara hari ini.
Perdana Menteri yang juga Presiden Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi merasmikan perhimpunan agung tersebut.
Ong berkata, pada masa yang sama, sebarang surat pekeliling kerajaan yang menyekat peluang kaum lain tidak sesuai dengan semangat BN.
Begitu juga, katanya, dengan struktur pembangunan semula masyarakat, ia tidak wajar menjejaskan hak sedia ada atau terpaksa melepaskan hak ekuiti ekonomi mereka.
Saling menghormati
MCA, katanya, menyokong penuh kepimpinan Abdullah sebagai pemimpin negara dan peneraju BN.
"Sebagai rakan seperjuangan dalam BN, pemimpin mesti berpegang teguh kepada keikhlasan, kejujuran dan saling menghormati antara komponen.
"Kita perlu pegang kuat kepada semangat kontrak sosial dan prinsip perlembagaan Persekutuan seperti yang dipersetujui oleh pemimpin parti semasa kita mencapai kemerdekaan.
"Komponen mesti mengamalkan falsafah dan budaya politik yang sihat dan memupuk budaya intergriti supaya rakyat lebih yakin untuk menyokong kita.
"Kepimpinan parti komponen perlu bijaksana, berinovasi dan berkebolehan secara bersama untuk memajukan negara," katanya.
Ong dalam ucapannya juga berkata, menyentuh mengenai dakwaan pihak tertentu bahawa MCA tidak berani bersuara dalam isu untuk kepentingan kaum Cina.
Katanya, isu sensitif merupakan perangkap politik dan kerana itu ia perlu diselesaikan secara dalaman tanpa menyinggung mana-mana kaum.
"Jika MCA bertincak seperti DAP dan mahu publisiti dan tidak tidak memberi manfaat kepada komuniti atau mereka yang terlibat dengan isu, maka akan rugi kerana masalah tidak selesai," katanya.

