Wartawan dan blogger perlu berperanan menegakkan keadilan dan membasmi rasuah kerana tugas seperti itu sangat mulia, kata Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Malah, katanya, peranan sesetengah wartawan dan blogger sekarang tidak ubah seperti peranan Rasulullah dahulu dengan melaporkan kebenaran untuk orang ramai.

"Selagi wartawan menulis perkara yang benar, ia merupakan satu tugas yang mulia, wartawa seperti orang celik yang terjatuh ke dalam telaga untuk menyelamatkan orang lain" katanya dalam ucaptama di majlis makan malam sempena 20 tahun Harakah dan Harakah Daily di ibu negara malam tadi.

Hadir sama ialah Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Dr Syed Husin Ali, Ahli Jawatankuasa DAP, Ronnie Liu dan pucuk pimpinan tinggi PAS.

Beberapa kanak-kanak yang mana ibu bapa mereka pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) membuat persembahan sebagai tanda membantah akta tersebut selain persembahan oleh kumpulan nasyid.

Nik Abdul Aziz yang juga Mursyidul Am PAS berkata, beliau sering mengikuti tulisan yang ditulis oleh blogger Datuk A Kadir Jasin dan Raja Petra yang mengedalikan blog Malaysia Today.

Katannya, apabila laporan berita yang benar cuba disekat, maka muncullah blogger yang menulis mengikut jalannya sendiri.

Media alternatif

Beliau berkata, perkara itu berlaku mungkin disebabkan oleh orang yang berkuasa cuba meminda demokrasi sebenar kepada yang mereka inginkan.

"Blogger dan pengamal media alternatif ditakuti kerana mereka membongkar kepalsuan yang dipaparkan oleh media lain," katanya.

Sementara itu, Abdul Hadi berkata, jika media tidak boleh melaporkan dengan adil, rakyat telah dizalimi kerana tertipu dengan permainan media.

"Rakyat dizalimi kerana media telah melaporkan yang benar dikatakan bohong, yang bohong dikatakan sebaliknya. Begitu juga pengkhianat ditulis sebagai seorang yang amanah manakala pemimpin amanah dikatakan pengkhianat," katanya.

Bekas Menteri Besar Terengganu itu berkata, oleh kerana itu rakyat wajib menolak laporan media sedemikian rupa dengan tidak mempercayainya.

Katanya, PAS mahu wartawan tempatan mencontohi rakan mereka di luar negara yang sanggup dihukum dan dipenjarakan kerana membela keadilan dan rakyat.

"Mereka diumpamakan seperti lilin yang membakar diri sendiri untuk menerangi orang lain," katanya lagi.