Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (AMK) mendakwa kritikan keras Pemuda MCA terhadap Barisan Nasional (BN) hanya merupakan satu lakonan semata-mata untuk mengabui mata rakyat.

Timbalan Ketua AMK, Fariz Musa (foto) berkata, Pemuda MCA terpaksa berbuat demikian untuk meraih kembali sokongan masyarakat Cina kepada parti itu.

"Saya berharap masyarakat tidak mudah terpedaya dengan lakonan tersebut kerana ia merupakan helah untuk kepentingan parti itu semata-mata," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai merujuk kepada ucapan Ketua Pemuda MCA Datuk Liow Tiong Lai yang dilaporkan berkata bahawa pergerakan itu tidak akan bertolak ansur dengan tindakan perkauman yang melampau dan menuduh pihak-pihak tertentu telah mengapi-apikan sentimen masyarakat Cina.

Liow (foto) yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan juga dilaporkan berkata, rakyat perlu menjulang perlembagaan dan bukannya keris.

Kenyataan ini dipercayai merujuk kepada tindakan Ketua Pemuda Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang menghunus keris dalam perhimpunan parti itu tahun lalu.

Fariz berkata, ucapan Liow itu menggambarkan kekalutan parti kaum Cina terbesar dalam BN itu untuk kembali meraih sokongan masyarakat Cina selepas melihat kajian Merdeka Centre baru-baru ini.

Agihan kerusi

Kajian Merdeka Centre menunjukkan sokongan masyarakat Cina tidak lagi memihak kepada MCA dan BN.

Menurut Fariz, MCA bukan lagi parti dominan masyarakat Cina yang memperjuangkan nasib dan masa depan masyarakat Cina seperti yang ditunjukkan oleh pengundi Cina dalam pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Ijok April lalu.

"Ini juga memberi gambaran bahawa Umno dan BN tidak mengamalkan politik kompromi yang adil dan saksama apabila terus ditekan sekutu mereka, iaitu MCA.

"Sebelum ini Parti Progresif Penduduk (PPP) menyatakan keinginan mereka untuk keluar daripada BN sekiranya tidak mendapat agihan kerusi yang dituntut," katanya lagi.

Fariz berkata, tindakan MCA itu bukan baru, malah sering berlaku apabila pilihanraya umum semakin hampir kerana ia sengaja dicetuskan untuk kepentingan politik.

Mungkin selepas ini, katanya, akan muncul lagi drama sedemikian rupa oleh parti komponen BN yang lain pula.