Utusan beri penjelasan, pohon maaf pada Taib
Akhbar Utusan Malaysia menjelaskan bahawa pihaknya tidak berniat untuk membabitkan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud dalam laporan mengenai dakwaan rasuah dan menyatakan kekesalannya jika ia telah mengaibkan reputasi beliau.
Dalam kenyataan tiga perenggan yang disiarkan hari ini, ia merujuk kepada dua laporan yang disiarkan oleh akhbar tersebut pada 13 dan 14 April.
"Kami merujuk kepada laporan-laporan berita yang bertajuk "Tiada aduan rasuah libatkan Taib Mahmud" pada 13 April 2007 dan "Rasuah: Abdul Taib arah peguam ambil tindakan" pada 14 April 2007 yang telah dimuatkan dalam Utusan Malaysia dan di halaman web Utusan Online .
"Kami ingin menjelaskan bahawa dengan penyiaran laporan-laporan tersebut pihak kami langsung tidak berniat untuk mencadangkan apa jua perlakuan rasuah oleh YAB Pehin Sri Abdul Taib Mahmud atau apa jua penglibatan YAB Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dalam perkara-perkara yang dilaporkan itu dan apa jua pentafsiran sedemikian oleh mana-mana pembaca kami sudah tentu tidak tepat.
"Kami dengan ini secara ikhlas menyatakan perasaan kesal kami atas apa jua kedukaan atau pengaiban yang kandungan laporan-laporan tersebut mungkin telah akibatkan kepada YAB Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan kami mengambil kesempatan ini untuk membetulkan apa jua kesalahan fahaman mengenai perkara itu".
Dalam laporan pada 13 April, Taib membayangkan beliau akan mengambil tindakan undang-undang berhubung laporan yang mendakwa beliau dibayar RM32 juta 'rasuah' oleh sembilan syarikat perkapalan Jepun yang mengangkut balak dari Jepun.
Laporan pada 14 April pula memetik Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai perkata, kerajaan tidak menerima sebarang aduan mengenai dakwaan tersebut dan Badan Pencegah Rasuah (BPR) hanya akan menyiasat jika ada laporan dibuat mengenainya, dan bukannya melalui laporan akhbar.
Selepas itu, BPR disahkan telah menjalankan siasatan terhadap skandal tersebut.
Pada bulan Mei, Taib telah membuat kenyataan peribadi di Dewan Undangan Negeri menafikan sebarang pembabitan dan mendakwa beliau tidak tahu menahu mengenai bayaran kepada syarikat Regent Star.
Beliau kemudiannya menfailkan tindakan undang-undang terhadap
malaysiakini
,
Utusan
dan PKR Sarawak. Selepas saman tersebut diserahkan kepada malaysiakini dan PKR Sarawak - dan kedua-duanya telah menfailkan pembelaan masing-masing - tidak jelas sama ada Taib akan menarik balik samannya terhadap Utusan ekoran penjelasan akhbar itu hari ini.
Menurut satu sumber, perkara tersebut masih dalam rundingan dan belum dimuktamadkan.
"Saman tersebut masih di Mahkamah tinggi. Sama ada Taib menarik balik atau tidak, kami harap perkara ini akan selesai secepat mungkin," kata sumber tersebut.
Permohonan syarikat
Dakwaan berhubung rasuah balak tersebut mula disiarkan dalam laporan agensi berita Jepun, Kyodo News dan telah disiarkan oleh Japan Times pada 29 Mac.
Menurut laporan, pihak berkuasa percukaian Jepun telah mendedahkan skandal tersebut dan mereka menganggap bayaran yang dibuat oleh sembilan syarikat tersebut - sebahagian daripada kartel perkapalan - sebagai 'perbelanjaan tidak sah'. Ia kerana kerja yang dilakukan oleh syarikat Hong Kong tidak sepadan dengan bayaran tersebut.
Menurut pihak berkuasa percukaian, syarikat-syarikat perkapalan itu telah cuba 'menyembunyikan' bayaran tersebut sebagai 'perbelanjaan perniagaan' dan oleh itu tidak dikenakan dicukai.
Akhbar Japan Times melaporkan bahawa firma perkapalan itu mungkin dikenakan bayaran lebih 400 juta yen (RM11.6 juta) sebagai cukai tunggakan serta hukuman yang berat kerana 'menyembunyikan' dana tersebut daripada pihak berkuasa percukaian.
Menurut laporan akhbar itu lagi, syarikat-syarikat perkapalan berkenaan dipercayai telah menggunakan wang tersebut 'bagi melicinkan perdagangan balak mereka'.
Syarikat perkapalan berkenaan bagaimanapun menolak dakwaan pihak berkuasa percukaian itu dan menegaskan bahawa urusniaga dengan Regent Star adalah sah, dan menafikan telah melakukan sebarang kesalahan.
Bagaimanapun, Pendaftara Syarikat Hong Kong menyatakan dalam notisnya Jumaat lalu bahawa Regent Star telah memohon untuk membatalkan pendaftarannya.
"Kecuali ada bantahan diterima dalam masa tiga bulan dari tarikh penerbitan notis gazet tersebut, Pendaftar mungkin membatalkan pendaftaran syarikat itu dan membubarkannya," kata kenyataan yang dikeluarkan pada 20 Julai lalu.

