Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Zaid pertahan kenyataan 'kerajaan paling diktator' Ambiga
Diterbitkan:  Aug 2, 2024 11:46 AM
Dikemaskini: 3:50 AM

Bekas menteri undang-undang Zaid Ibrahim mempertahankan bekas pengerusi Bersih Ambiga Sreenavasan yang melabel pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebagai “kerajaan paling diktator”.

Dalam satu kenyataan di media sosial X, Zaid berkata ujian untuk menentukan betapa diktator sebuah kerajaan bergantung pada sama ada ia membenarkan kebebasan untuk bersuara dan kekerapan ia menggunakan polis untuk mendakwa orang ramai dengan hasutan.

Menurut Zaid, ia juga bergantung kepada sama ada kerajaan menghadapi sebarang krisis besar untuk mewajarkan tindakan tegas dan kekerapan menggunakan  polis.

"Mengenai ujian ini, kerajaan Madani yang mempunyai majoriti 2/3 dan tiada krisis untuk diperkatakan, ia menjurus lebih kepada kediktatoran.

"Jadi Ambiga 100 peratus tepat," katanya.

Gambar Hiasan - Ambiga (kiri) bersama Fahmi Fadzil

Semalam, jurucakap kerajaan Fahmi Fadzil menyatakan tidak bersetuju dengan kenyataan Ambiga, dan mengingatkan bekas presiden Majlis Peguam itu bahawa bukan kerajaan hari ini yang melaksanakan Ops Lalang.

Ops Lalang merujuk kepada operasi polis pada 1987, semasa pentadbiran perdana menteri Dr Mahathir Mohamad, yang menyaksikan lebih 100 ahli politik dan aktivis ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri yang kini sudah dimansuhkan.

Gambar Hiasan - Mereka yang ditangkap semasa Ops Lalang

Ambiga membuat dakwaan tersebut pada 29 Julai, ketika mengulas pengumuman kerajaan bahawa semua media sosial dan perkhidmatan pemesejan internet dengan sekurang-kurangnya lapan juta pengguna berdaftar di negara ini mesti memohon lesen.

Dalam kenyataannya, Zaid juga berkata tindakan Dr Mahathir dalam Ops Lalang boleh difahami walaupun tidak wajar.

“Walaupun saya tidak mengatakan Ops Lalang adalah wajar, Dr M (Mahathir) berjuang untuk nyawanya, dan kamu pun tahu tindakannya itu boleh difahami.

“Apa pun, selepas 1987, dia hanya menggunakan kuasa tahanan secara berhemat sepanjang pemerintahannya selama 23 tahun,” katanya.

Gambar Hiasan - Mahathir Mohamad (kiri) bersama Anwar

Menurut Zaid lagi, tindakan berkenaan mendapat restu daripada polis dan jemaah menteri, yang dianggotai Perdana Menteri Anwar Ibrahim, sebagai timbalan Dr Mahathir ketika itu.

“Ops Lallang adalah dari era lain apabila perebutan kuasa dalam Umno menjejaskan kestabilan kerajaan dan memecahkan parti. 

“Hubungan Umno dan MCA sama buruknya. Timbalan Presiden MCA terpaksa bertolak ke Australia untuk menenangkan keadaan.

“Krisis dalam badan kehakiman juga sedang berlaku,” kata Zaid.

Dr Mahathir dipersalahkan secara meluas berhubung  pemecatan beberapa hakim kanan selepas mereka mengisytiharkan Umno sebagai pertubuhan haram. Zaid kemudiannya dilantik menyelia usaha perdamaian badan kehakiman dan kerjaan itu.

Gambar Hiasan

Selain itu, Zaid merujuk kepada kenyataan perdana menteri pertama Malaysia Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj, yang didakwanya menggelar Dr Mahathir dan Anwar masing-masing sebagai ‘tidak berguna’.

"Dia kata Dr M dan Anwar tidak berguna dan akan memusnahkan negara," kata Zaid lagi.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS